Berita Utama

Pengeluaran KWSP: Kerajaan wajar dengar rintihan rakyat

Hamzah tersentuh kisah pemandu teksi nekad jalan kaki dari Skudai ke Istana Negara

BANGI, 9 Ramadan 1444H, Jumaat – Kerajaan didesak untuk mendengar rintihan rakyat berhubung isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tidak memandang perjuangan itu dengan sebelah mata.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau tersentuh dengan kisah seorang pemandu teksi, Norazlan Ismail yang nekad berjalan kaki dari Tol Skudai ke Istana Negara sejauh 312 Kilometer bagi memperjuangkan hak pengeluaran KWSP.

“Bila baca kisah Norazlan saya faham isi hatinya, bapa kepada lima anak yang masih bersekolah ini terdesak dan sedang dalam keperitan.

“Bagi Norazlan pengeluaran simpanan KWSP adalah kunci untuk dia keluar daripada belenggu hutang dan seterusnya memulakan kehidupan baharu bersama keluarga.

“Saya tahu ramai rakyat di luar sana yang terdesak dan amat memerlukan pengeluaran simpanan KWSP. Mereka juga dalam kesusahan dan kepayahan sepertimana Norazlan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru Hamzah yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berharap kerajaan mempertimbangkan pengeluaran KWSP bersasar untuk golongan memerlukan.

Katanya, Perikatan Nasional (PN) tetap berpegang dengan agenda menggesa kerajaan mempertimbangkan perkara ini.

“Kami angkat denyut nadi dan suara hati rakyat yang mahukan pengeluaran simpanan KWSP ditunaikan kerajaan, tetapi sayangnya dibalas sinis Perdana Menteri ke-10,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button