Berita Utama

Putra lapor polis isu hak biasiswa pelajar Bumiputera

Perlu siasatan telus sama ada wujud unsur ‘mala fide’ nafikan hak orang Melayu

BANGI, 9 Ramadan 1444H, Jumaat – Tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menghentikan penajaan pelajar perubatan, kejururawatan dan beberapa lagi pengkhususan lain di universiti tempatan dilihat sebagai melanggar Perkara 153 (2) dan 153 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali berkata, biasiswa ini adalah milik istimewa orang Melayu dan sewajarnya semua pihak perlu menghormatinya sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan negara.

“Saya ingin mengajak orang Melayu dan Bumiputera supaya menyedari, menginsafi dan bangkit bersama menuntut hak kita orang Melayu yang semakin terhakis terutama biasiswa.

“Isu ini bukan sahaja melibatkan pelajar dalam bidang perubatan, kejururawatan atau sebagainya tetapi isunya adalah semua bidang pelajaran yang membabitkan Bumiputera kerana hak istimewa orang Melayu yang saya sebutkan tadi iaitu Fasal 153(2) dan Fasal 153(3) menjadi kewajipan kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Putra membuat laporan polis berhubung isu biasiswa pelajar Bumiputera di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Mengulas lanjut, Ibrahim menjelaskan biasiswa di bawah JPA sekarang ini sudah dibahagikan seolah sama rata iaitu 50 peratus Bumiputera dan 50 peratus lagi kepada bukan Bumiputera.

“Saya difahamkan begitu dan ada di kalangan Bumiputera yang mendapat tempat di luar negara dan universiti terkemuka, tetapi dalam negara kita dinafikan biasiswa,” katanya.

Justeru, beliau mendesak siasatan lebih telus dilakukan sama ada wujud unsur ‘mala fide’ dalam usaha menafikan secara halus dan terancang hak orang Melayu yang telah dilindungi di bawah Perlembagaan.

Katanya, siasatan berkenanan perlu dilakukan secara menyeluruh bagi mencari siapa dalang yang berkaitan pemberhentian atau pembatalan yang merupakan satu pelanggaran undang-undang.

Beliau pada masa sama menyifatkan pemberhentian biasiswa berkenaan merupakan perbuatan bersifat jenayah dan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Pemberhentian atau pembatalan penajaan biasiaswa terutama kepada pelajar Melayu merupakan satu pencabulan terhadap keistimewaan yang telah diperuntukan oleh Perlembagaan Persekutuan sejak sekian lama,” jelasnya.

Beliau berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneliti semula terutama dalam mengembalikan hak orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Pada 23 Mac lalu, JPA memutuskan tidak akan menawarkan tajaan kursus perubatan, pergigian dan farmasi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button