Berita UtamaDunia

IMF lulus pinjaman AS$15.6 billion kepada Ukraine

Program pertama diluluskan bagi negara terlibat peperangan berskala besar

KYIV,10 Ramadan 1444H, Sabtu – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meluluskan program pinjaman sebanyak AS$15.6 billion kepada Ukraine bagi menyokong pembangunan semula negara itu selepas berdepan pencerobohan Russia sejak 13 bulan lalu.

IMF dalam kenyataan memaklumkan, kelulusan berkenaan membenarkan pengeluaran segera bernilai AS$2.7 billion kepada Kyiv yang boleh digunakan untuk sektor-sektor penting.

Program Kemudahan Dana Lanjutan (EFF) itu merupakan program pembiayaan konvensional dan yang pertama diluluskan oleh IMF bagi negara yang terlibat dalam peperangan berskala besar.

Timbalan Pengarah Urusan IMF, Gita Gopinath berkata, program baharu empat tahun itu berdepan risiko tinggi namun bertujuan membantu kestabilan makroekonomi dan kewangan serta melaksanakan pembaharuan struktur kritikal ketika perang berterusan.

Katanya, lebih banyak ‘pembaharuan struktur’ dilakukan untuk menyokong pertumbuhan yang mampan dan pembinaan semula selepas perang, serta memudahkan laluan Ukraine ke penyertaan Kesatuan Eropah (EU).

“Pencerobohan Russia ke atas Ukraine memberi kesan ekonomi dan sosial yang dahsyat,” katanya.

Sementara itu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy mengalu-alukan pembiayaan baharu tersebut.

Katanya, bantuan berkenaan penting dalam perjuangan menentang pencerobohan Russia.

“Sama-sama kita menyokong ekonomi Ukraine dan kita akan bergerak bersama-sama untuk mencapai kemenangan,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Dalam pada itu, Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Janet Yallen pula berkata, pakej pembiayaan ini akan membantu menjaminkan kestabilan ekonomi dan kewangan serta menetapkan asas kepada pembinaan semula dalam jangka masa panjang. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button