Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Jemaah menteri setuju tubuh jawatankuasa tangani isu doktor kontrak

Mogok bukan satu penyelesaian terbaik masalah berkaitan profesion perubatan

PUTRAJAYA, 10 Ramadan 1444H, Sabtu – Jemaah Menteri telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak yang menjadi topik hangat dalam negara ketika ini, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Katanya, persetujuan bagi menubuhkan jawatankuasa yang akan menggabungkan beberapa kementerian dan agensi, termasuk pembabitan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali itu dicapai oleh Jemaah Menteri semalam.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini susulan desas-desus kemungkinan mogok oleh doktor kontrak pada 3 hingga 5 April ini, dan kemunculan catatan instagram yang menggesa doktor kontrak seluruh negara tampil menyertai mogok berkenaan atau meletak jawatan secara beramai-ramai pada 1 April.

Dr Zaliha berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai mogok itu, bagaimanapun berpandangan mogok bukan satu penyelesaian terbaik terhadap permasalahan berkaitan profesion perubatan atau mana-mana skim profesional yang lain.

“Sebaliknya perkara ini perlu ditimbang dengan teliti kerana perkhidmatan kesihatan merupakan perkhidmatan kritikal, melibatkan nyawa manusia dan kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu. 

Beliau berkata, kerajaan dari semasa ke semasa telah memberi respons terhadap permasalahan serta permintaan yang ditimbulkan oleh anggota kesihatan, antaranya mewujudkan perjawatan tetap, penajaan latihan kepakaran atau latihan lanjutan, kenaikan pangkat secara time-based, peluang kenaikan ke gred khas dan mewujudkan gred UD56 untuk pakar perubatan dan sebagainya.

Katanya, KKM sentiasa peka dengan permasalahan serta permintaan yang ditimbulkan dan memastikan ia diteliti sesuai dengan isu semasa serta diberi penyelesaian sewajarnya berdasarkan kepada kemampuan ekonomi negara.

“Justeru, mogok bukan penyelesaian terbaik dan selaku penjawat awam, sama ada berjawatan tetap atau kontrak, mereka adalah tertakluk kepada integriti penjawat awam dan Etika Perkhidmatan Awam,” kata Dr Zaliha. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button