Pencalonan Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu dibuka
Terbuka kepada ahli akademik universiti awam berusia 44 tahun ke bawah
PUTRAJAYA, 10 Ramadan 1444H, Sabtu – Pencalonan bagi Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM), Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu (ATHABM) dan Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal (ATBMST) dibuka bermula hari ini hingga 2 Jun depan.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan, hari ini memberitahu ATHABM terbuka kepada ahli akademik universiti awam (UA) berusia 44 tahun ke bawah.
Menurut kenyataan itu, ATABM diperkenalkan bagi mengiktiraf ahli akademik UA yang mengangkat Bahasa Melayu dalam pelbagai bidang untuk memartabatkan bahasa itu sebagai wahana penyelidikan, penerbitan, pengajaran dan khidmat ikhtisas bukan sahaja dalam bidang Sains Sosial malah Sains dan Teknologi.
Kenyataan itu menyebut ATBMST diadakan bagi mengiktiraf ahli akademik di Politeknik dan Kolej Komuniti.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang rasmi ATABM 2023 di https://atabm.mohe.gov.my atau sebarang pertanyaan berkenaan anugerah berkenaan boleh dikemukakan kepada urus setia melalui e-mel [email protected].
Menurut KPT, sembilan orang tokoh akademik telah menerima anugerah berkenaan sejak diperkenalkan pada 2012.
“Melalui penganugerahan ini, KPT akan terus komited dalam usaha mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan seterusnya menjadikan Bahasa Melayu kekal sebagai wahana pembangunan ilmu, penyampaian maklumat dan komunikasi di Malaysia,” menurut kenyataan itu. – Bernama