Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Tindakan Menteri Komunikasi bidas laporan BH tidak bertanggungjawab

Menteri tak cukup matang tangani isu media: Tokoh Wartawan Negara

BANGI, 10 Ramadan 1444H, Sabtu – Tindakan Menteri Komunikasi dan Digital yang membidas laporan Berita Harian sebagai fitnah disifatkan sebagai langkah tidak wajar sekali gus tidak bertanggungjawab, kata Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar.

Beliau berkata, Fahmi Fadzil tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan berkenaan memandangkan beliau merupakan menteri yang bertanggungjawab ke atas media selain sebagai jurucakap kerajaan.

Sedangkan, katanya, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu sepatutnya faham laporan BH ditulis mengikut ramalan dan pandangan dari penganalisis.

“Ia merupakan amalan biasa dalam laporan pemberitaan berkaitan perniagaan seperti juga pandangan penganalisis politik dipetik untuk tujuan berita atau laporan politik semasa.

“Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, semua pandangan, baik yang menyokong atau menentang kerajaan seharusnya diberikan tempat.

“Saluran media bukan portal atau risalah rasmi kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Fahmi melalui akaun Facebook menyuarakan akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan Berita Harian berhubung laporan berita yang disifatkan fitnah terhadap kerajaan.

Akhbar itu melaporkan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka sekali lagi menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata peratusan seawal Julai ini.

Jangkaan itu dibuat berdasarkan pandangan yang dikemukakan oleh penganalisis.

Menyelar tindakan Fahmi, Johan yang pernah terlibat sebagai ketua pengarang di sebuah akhbar tempatan di negara ini berkata, kenyataan yang dikeluarkan Fahmi ini secara langsung berisiko menanam rasa tidak yakin orang ramai kepada media, selain boleh menjejaskan reputasi media tempatan.

Beliau turut mengingatkan semula kenyataan Menteri Komunikasi itu yang pernah menjanjikan media bebas membuat laporan dalam kerangka undang-undang sedia ada.

Dalam pada itu, beliau menyuarakan kekecewaan apabila Fahmi sebelum ini juga pernah melenting dengan laporan persepsi negara yang dilakukan oleh lima media arus perdana.

“Saya melihat kecenderungan yang tidak sihat apabila beberapa orang menteri mempertikaikan laporan media yang tidak menyebelahi mereka,” katanya.

Johan berpandangan, hal demikian berlaku disebabkan menteri-menteri berkenaan tidak cukup matang menangani isu media.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button