Berita Utama

Respons KM Melaka sindir Jailani tak profesional

Politik naikkan individu dengan agenda tak disokong rakyat

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI,11 Ramadan 1444H, Ahad – Kenyataan balas Datuk Seri Ab Rauf Yusoh terhadap Datuk Mohamad Jailani Khamis berhubung pelantikannya sebagai Ketua Menteri Melaka sangat tidak profesional.

Terdahulu, Jailani yang juga bekas Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan mendakwa pertukaran Ketua Menteri Melaka yang baharu sebagai tebuk atap atau Ketua Menteri pintu belakang.

Kemudian, Abd Rauf mengatakan ‘nanti kita cari rumah mana yang atap bocor’ responsnya selepas ditanya pengamal media.

Mengulas situasi itu, Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad berkata, Ab Rauf harus mengambil pendekatan lebih telus dan bersih kepada pihak yang menentang pelantikannya.

“Ini permulaan yang tidak baik, respons yang tidak matang.

“Sebaik sahaja dilantik terus menyindir dan cuba menjatuhkan pihak yang mengkritik,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Lukman berkata, hakikatnya ramai memahami pelantikan Ab Rauf itu memang sangat kontroversi – seolah-olah dengan motif awal merombak EXCO-EXCO negeri Melaka demi memasukkan wakil-wakil daripada Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, hasrat Presiden UMNO mungkin tidak dipersetujui oleh Datuk Sulaiman Md Ali menyebabkan beliau mengambil pendekatan bijak dengan meletak jawatan.

“Inilah politik yang tidak berkesudahan demi untuk menaikkan individu dengan agenda yang tidak disokong oleh parti dan rakyat sendiri,” katanya.

Lukman pada masa sama menyifatkan pentadbiran Melaka dibawah kepimpinan Sulaiman tidak bermasalah dan membangun dengan maju.

“Kalau lihat dibawah kepimpinan Sulaiman, Melaka tidak mempunyai masalah dan membangun dengan baik dan kepimpinan berakar umbi selain mesra dengan rakyat,” katanya.

Ab. Rauf mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Seri Negeri, Ayer
Keroh, Jumaat lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button