Cukai vape: Apakah kerajaan lebih kejar untung dari kesihatan rakyat?
BERJASA syor tangguh pengecualian nikotin, gesa pendekatan lain

BANGI, 12 Ramadan 1444H, Isnin – Keputusan mengecualikan produk cecair atau gel nikotin daripada Akta Racun 1952 dibimbangi merancakkan lagi industri penjualan vape kepada orang ramai, khususnya kanak-kanak dan remaja.
Menyifatkan tindakan itu sebagai terburu-buru dan mengecewakan, Ketua Wanita BERJASA Pahang, Dr Rashidah Abdul Rahman berkata, kerajaan sepatutnya menunggu terlebih dahulu sehingga Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 diluluskan di Parlimen.
“Rasanya semua orang sudah jelas bahawa nikotin hanya membawa keburukan berbanding kebaikan kepada kita.
“Jika rokok sebelum ini pun ada sebahagian kanak-kanak yang menghisapnya, saya jangkakan hal yang sama juga akan dibuat oleh mereka untuk menghisap vape,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa yang mengesahkan KKM dalam proses untuk mengeluarkan produk cecair atau gel nikotin dalam Akta Racun 1952, sebelum melaksanakan cukai terhadap penggunaan rokok elektronik dan vape.
Berkuat kuasa semalam, kerajaan mula melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml).
Dr Rashidah percaya bahawa tindakan mengeluarkan nikotin daripada Akta Racun 1952 adalah untuk mengenakan cukai ke atasnya semata-mata.
“Kerajaan seakan lebih mengejarkan keuntungan daripada kesihatan rakyat sendiri.
“Dengan negara kita mengalami krisis tenaga kerja doktor yang berdepan isu penjawatan, adakah kita mahu menambah lagi jumlah pesakit di hospital akibat kesan daripada pengambilan vape dan rokok?,” soalnya.
Justeru, beliau mencadangkan supaya kerajaan menangguhkan dahulu keputusan itu dan menggesa pendekatan mencegah kemudaratan diambil.
“Kerajaan yang prihatin tidak akan menganiaya nasib dan masa depan kesihatan rakyat sendiri.
“Apatah lagi kerajaan kini menggunakan slogan Malaysia Madani yang mana perkataan ‘madani’ itu melambangkan ke arah syarak,” katanya.