Berita Utama

Cukai vape buka ruang besar ketagihan nikotin pada kanak-kanak, remaja

I-Medik bantah kecualikan cecair nikotin daripada Akta Racun 1952

BANGI, 12 Ramadan 1444H, Isnin – Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) membantah keputusan kerajaan mewartakan Pindaan Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023, yang mengecualikan tampalan cecair dan gel nikotin daripada senarai racun yang perlu dipantau.

Tindakan itu bagi membolehkan kerajaan mengutip cukap ke atas produk-produk rokok elektronik dan vape, sepertimana Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Mac lalu.

Bimbang dengan kesan terhadap keputusan itu, Ketua Unit Kesihatan Awam I-Medik, Dr Mohd Ihsanuddin Abas berkata, langkah terbabit menjadikan penggunaan cecair nikotin bagi produk rokok elektronik dan vape tidak lagi dipantau di bawah Akta Racun 1952, termasuk membolehkan penjualannya kepada masyarakat kerana tiada undang-undang khusus berkenaan penjualan ‘candu’ vape sehingga kini.

“Keputusan Menteri Kesihatan ini boleh membuka ruang besar penggunaan dan ketagihan nikotin berleluasa melalui penggunaan rokok elektronik dan vape tanpa kawalan dalam kalangan masyarakat termasuklah kanak-kanak dan remaja.

“Ini kerana tiada undang-undang semasa yang boleh menyekat kanak-kanak dan remaja mendapatkan cecair nikotin dan menghisap ‘candu’ vape apabila pindaan ini dibuat.

“Malah, Pengerusi Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Dr M Muralitharan menyatakan penjualan cecair nikotin juga tidak dikawal di bawah Akta Makanan 1983,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Dr Mohd Ihsanuddin turut bimbang pindaan berkenaan akan menjejaskan komitmen kerajaan terhadap Polisi Generasi Penamat (GEG) yang diumumkan pada tahun lalu.

“Mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah membentangkan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 pada Oktober 2022, namun begitu ia belum diluluskan dan perlu diperhalusi oleh Parlimen dan masih belum dibentangkan semula sehingga kini.

“Semua pihak memahami RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 ini adalah bertujuan untuk melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok, selain mengurangkan kematian akibat penyakit berkait rokok,” katanya.

Beliau menjelaskan, usaha itu juga adalah strategi Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengurangkan kadar perokok di Malaysia kepada lima peratus menjelang 2040, berbanding 21 peratus ketika ini.

Justeru tegasnya, menjadi satu tanggungjawab dan kewajiban kerajaan untuk menyegerakan kelulusan RUU berkenaan sebelum melaksanakan sebarang tindakan berkait isu ini.

“I-Medik ingin menegaskan kembali pendirian dan komitmen kami untuk mendesak kerajaan menghalang sebarang usaha penggunaan dan penjualan nikotin tanpa kawalan dibenarkan di dalam masyarakat.

“I-Medik sebagai sebuah NGO perubatan dan kesihatan juga menyatakan kerisauan akan kelemahan mekanisme kawalan penjualan rokok elektronik dan vape dalam masyarakat hari ini yang menunjukkan peningkatan penggunaan di kalangan kanak-kanak dan remaja.

“Ini ditambah pula penggunaan cecair nikotin boleh dijual secara terbuka tanpa sekatan,” katanya.

Sehubungan itu, I-Medik menggesa Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan KKM mempertimbangkan semula kewajaran keputusan mengenakan cukai ke atas rokok elektronik dan vape.

Katanya, langkah itu sangat bertentangan dengan kaedah pencegahan awal risiko penyakit tidak berjangkit kepada semua pihak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button