Artikel Khas

Pemimpin negara perlu banyak bercakap soal apa, bukan siapa

Henti cari salah orang lain, ada banyak lagi perkara perlu diberi perhatian

SAYA semakin hairan, sudah hampir lima bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah, asyik mencari salah orang, pemimpin terdahulu.

Jika keadaan ekonomi semakin baik, tidak mengapa lagi. Tetapi semakin buruk.

Masalahnya, pemimpin negara masih tergamak mencari kesalahan dan kelemahan pemimpin kerajaan terdahulu. Asyik menyalahkan mereka, bagi membuktikan bahawa semua itu bukan salah mereka. Mereka yang memerintah kini, adalah mangsa pemerintahan dahulu.

Sudah, cukup, cukuplah…

Bukan tidak boleh menunjukkan siapa atau menuding jari, tetapi ada perkara lain yang lebih mendesak yang perlu diberikan perhatian, terutama berkaitan ekonomi dan kebajikan rakyat.

Contoh, apabila ditanya soal disambung semula Ketua Pesuruhjaya SPRM atau Peguam Negara, atau mungkin Ketua Hakim, sebab katanya mahu buang jika berkuasa, maka jawapannya, ini lantikan dahulu, bagi menyucikan penyambungan perlantikan tersebut.

Soal siapa lagi?

Isu pokoknya, bukan soal lantikan terdahulu. Rakyat mahu dengar, mereka yang akan disambung itu, LAYAK atau TIDAK.

Jika tidak layak, gugurkan. Jika layak, teruskan. Jangan bagi alasan, lantikan dahulu. Muak, bosan dan meloyakan

Rakyat sedang memerhati, rakyat tahu…pemimpin lakukan apa sahaja terhadap lantikan dahulu. Panggil sahaja mereka menghadap. Cairlah lantikan dahulu.

Jika saya seorang pemimpin tertinggi, saya akan panggil mereka.

Zaman sekarang, ramai yang belot, bila berada dalam keadaan tidak selamat.

Paling menjengkelkan apabila pemimpin ini berucap, sentiasa mahu menonjolkan sebagai lembu suci.

Contohnya, tidak semena-mena, bangkitkan isu bekas Perdana Menteri yang paling lama berkuasa dan kekayaan anak-anaknya. Kroni sana kroni sini.

Cakap semua orang boleh cakap, tetapi adakah terdapat buktinya.

Seseorang pemimpin tertinggi negara, tidak sepatutnya bercakap tentang siapa? Lebih-lebih lagi tanpa bukti. Ini sangat memalukan. Pemimpin kena banyak bercakap soal apa dan kenapa? Bukan siapa?

Apa yang perlu dibuat?
Apa yang perlu dilakukan?
Apa dan apa lagi?
Bukan siapa?

Jika mahu dikorek soal siapa? Boleh dikatakan tidak ada seorangpun pemimpin atau ahli politik yang memerintah, boleh dikategorikan sebagai bersih.

Selagi mereka itu ahli politik, mereka tidak dapat lari daripada berpolitik. Berpolitik itu penuh dengan pembohongan, penipuan dan kepentingan diri, jika tidak disandarkan atas asas iman.

Sebab itu, jika mahu selamat, berpolitik kena ada rasa God fearing. Jika tidak pasti akan gugur. Tidak kira siapa?

Paling sukar untuk diterima, apabila pemimpin berpolitik, bersumpah atas nama Allah. Sumpah tidak berbohong dan berbagai sumpah lagi dengan bersaksikan Allah.

Pada hal, keadaan yang sebenar tidak seperti disumpahkan. Apakah kita tidak pernah takut kepada laknat Allah? Apakah pemimpin seperti ini boleh dipercayai?

Jika dengan Allah pun dia tipu, sudah tentu dengan manusia lagi teruk ditipunya.

Sepatutnya, sebagai seorang pemimpin, seorang negarawan, masa ini, adalah masa untuk melakukan kerja, menunjukkan dan membuktikan kepada rakyat, bahawa kita boleh buat kerja. Masa untuk meringankan hidup rakyat yang dihimpit dengan kos sara hidup yang begitu tinggi.

Tidak ada langsung hari ini, barang yang tidak naik harga. Semua naik. Tidak ada langsung yang turun.

Semakin hari semakin naik.

Nilai wang ringgit juga semakin turun.

Dalam keadaan sebeginipun, kita asyik salah orang, salah diri sendiri, bagaimana pula dengan diri sendiri.

Nasihat saya kepada pemimpin-pemimpin yang menerajui kerajaan hari ini adalah;

Pertama, fikirkan tentang tentang rakyat. Rakyat sebenarnya tidak pilih kamu, namun kamu naik juga kerana nasib menyebelahi kamu. Tidak mengapalah, pun begitu buktikanlah bahawa kamu boleh buat kerja

Kedua, hentikan mentaliti cari salah orang. Soal siapa? Kamu semua sekarang adalah negarawan.

Kerja negarawan adalah menjaga negara dan kebajikan rakyat.

Bangunkan negara ini ada paksi Melayu Bumiputera Islam. Inilah identiti negara ini tanpa menafikan hak kaum lain. Keadaan Islam semakin terancam.

Ultra kiasu semakin berani dari hari ke hari. Kita terus berbalah mencari salah sesama saudara.

Pemimpin yang baik kena kurangkan bercakap, banyakkan mendengar dan buat kerja. Ingat kata-kata ini.

Leadership is not a position or title, it is action and example.

Persoalannya, adakah kita yang berpangkat dan bergelar pemimpin telah menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat?

Mitch Carson pernah memberitahu, “Tuhan ciptakan kita dua telinga dan satu mulut untuk kita sedar bahawa kita perlu banyak mendengar daripada bercakap”.

Sebagai pemimpin negara, kena lebih banyak mendengar. Kita kena faham situasi kita tidak bertindak membabi buta. Bila kita faham situasi jangan lupa ulang dan beritahu situasi yang kita fahami itu kepada rakyat supaya mereka tahu yang kamu faham keseluruhan masalah yang sedang berlaku.

Selepas itu barulah kita berikan solusi.

Sebagai pemimpin, kita tidak lari daripada menerima dan mendengar keluhan keluhan rakyat. Jangan sikit-sikit saman mereka.

Berhati hati sekiranya mahu memberitahu tentang keburukan orang lain. Lihat juga kelemahan diri mereka.

Sudah menjadi lumrah, manusia hanya memberitahu yang baik baik sahaja tentang dirinya. Buatlah muhasabah sebelum terlambat, sebab dalam politik, semua boleh jadi. Seni yang segala-galanya tidak mustahil

Jangan kita sangka dengan sokongan dua pertiga yang sedang diperolehi, menunjukkan kita sudah kuat, hakikatnya, ia sangat rapuh.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button