Tarik balik keputusan keluarkan cecair vape bernikotin dari Akta Racun
Utamakan kesihatan, keselamatan rakyat dari cukai dan wang ringgit

BANGI, 12 Ramadan 1444H, Isnin – Wanita BERJASA kesal dengan keputusan kerajaan melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik (e-rokok) pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml).
Naib Ketuanya, Noorzaimen A Kadir mempersoalkan hala tuju sebenar kerajaan Malaysia Madani dalam memimpin rakyat apabila membuat keputusan sedemikian.
“Bukankah tugas pemerintah memberi kesejahteraan dan keharmonian kepada rakyat di bawah pimpinannya, dengan mengusahakan jaminan keselamatan, keamanan, kesihatan dan kebahagiaan.
“Bagaimana mungkin dengan memberi ‘lesen’ nikotin boleh tercapainya kesejahteraan dan keharmonian itu?
“Tidakkah mencegah itu lebih baik dari merawat? Inikan pula dilonggar-longgarkan lagi kemudaratan berleluasa dalam masyarakat. Madani yang serupa apa yang dilaungkan kerajaan?,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil tindakan mengecualikan cecair atau gel mengandungi nikotin daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952 melalui pewartaan Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023.
Susulan itu, KKM juga akan membentangkan Rang Undang-Undang baharu yang akan mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan merokok yang mengandungi nikotin yang digunakan untuk tujuan merokok.
Selari dengan ini, Kementerian Kewangan akan melaksanakan pengenaan duti
eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.
Mengkritik keputusan itu, Norzaimeen berkata, malang apabila produk cecair vape dikeluarkan daripada jadual Akta Racun 1952 sebelum sempat Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dibentangkan.
“Demi cukai, kesihatan mahupun masa depan rakyat ditolak tepi. Demi duit, hilang terus pertimbangan pihak kementerian mengenai nasib rakyat, termasuk anak-anak yang bakal terdedah dengan kerosakan dan kemudaratan nikotin yang di’halalkan’ ini.
“Kita menggesa kerajaan untuk menarik balik keputusan mengecualikan cecair dan gel nikotin yang diguna dalam rokok elektronik seperti vape, dari senarai racun yang diharamkan.
“Demi rakyat, buatlah! Utamakan kesihatan dan keselamatan rakyat dari cukai dan wang ringgit,” tegasnya.