Dunia

Virus Marburg: UAE larang rakyat lawat Tanzania, Guinea Khatulistiwa

25 kematian, 825 kontak rapat dikenal pasti setakat ini

LONDON, 12 Ramadan 1444H, Isnin – Emiriah Arab Bersatu (UAE) menasihatkan rakyatnya  tidak berkunjung atau melakukan perjalanan ke negara Tanzania serta Guinea Khatulistiwa, berikutan penularan demam berdarah teruk yang menjejaskan manusia. 

Kementerian Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa berkata, larangan itu adalah kebimbangan kerajaan terhadap keselamatan rakyat UAE. 

Setakat ini, sembilan orang dilaporkan meninggal dunia, manakala seorang pesakit pulih sejak wabak yang dikenali sebagai virus Marburg itu menular. 

Kementerian Kesihatan Guinea Khatulistiwa  di Twitter memaklumkan, seramai 825 kontak rapat sudah dikenal pasti ketika ini. 

Negara itu mengesahkan kes pertamanya pada Februari, dan melaporkan sembilan kes baharu disahkan minggu lalu, menjadikan jumlah kematian serta kes disyaki masing-masing pada 20, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

“WHO mengambil maklum mengenai kes tambahan dan kami telah meminta kerajaan melaporkan kes ini secara rasmi kepada WHO,” kata pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus. 

WHO berkata, terdapat juga wabak virus Marburg di Tanzania, di mana lapan kes termasuk lima kematian dilaporkan di wilayah Kagera barat. 

Susulan itu, Kementerian UAE menggesa rakyatnya yang menetap atau melawat dua negara berkenaan supaya berhati-hati dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa berkaitan.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button