Berita Utama

Cukai vape: Kerajaan Madani hanya lihat untung, tak ambil kira syarak

Seolah ada fahaman liberal mendasari gaya fikir, bertindak': BERJASA

BANGI, 13 Ramadan 1444H, Selasa – Apakah garis panduan dan nilai timbang yang digunakan kerajaan Madani sehingga boleh memutuskan pengecualian cecair nikotin daripada Akta Racun 1952 dan melaksanakan cukai ke atas produk vape?

Demikian persoalan yang ditimbulkan Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim susulan keputusan kerajaan menguatkuasakan cukai ke atas produk vape bermula 1 April lalu.

Beliau mengakui sehingga kini tidak memahami dengan keputusan kerajaan melaksanakan polisi berkenaan, apatah lagi ketika rokok elektronik dan vape semakin berleluasa dijual secara terbuka.

“Memang betul kerajaan akan dapat untung daripada cukai yang dikenakan, tetapi sebagai sebuah kerajaan Madani saya tak boleh bayangkan apakah garis panduan dan nilai timbang digunakan oleh kerajaan Madani, antara keuntungan duit dengan kerosakan generasi yang akan membahayakan nyawa.

“Di sana, pakar-pakar telah pun menyatakan bahawa rokok dan vape ini sama bahayanya,” katanya.

Zamani turut membandingkan langkah kerajaan dahulu yang menjurus kepada usaha pencegahan rokok bagi memastikan generasi akan datang bebas daripada rokok.

“Ini kerana terbukti rokok bahaya dan ianya sama dengan vape, tetapi nampaknya kerajaan Madani tidak menggunakan kaedah mana yang lebih bahaya, mana lebih untung antara duit atau kebinasaan generasi yang perlu diselamatkan.

“Kalau kita melihat kepada kaedah syarak, ada lima perkara yang perlu dijaga sebagai orang berkuasa iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta,” katanya.

Justeru, beliau mempersoalkan, mengapa kerajaan tidak mengambil pandangan syarak sebagai latar belakang sudut pandang berbanding melihat kepada keuntungan duit semata-mata.

“Ini yang saya hairan sehingga kita nampak seolah-olah kerajaan Madani ini macam ada fahaman liberal yang mendasari gaya fikir dan bertindak.

“Kenapa saya cakap begitu? Sebab untung duit lebih diutamakan daripada menyelamatkan nyawa, menyelamatkan generasi akan datang rosak daripada aktiviti rokok elektronik yang terbukti membahayakan,” katanya.

Serentak itu, beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan semula pelaksanaan berkenaan demi menyelamatkan generasi akan datang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button