MCMC nafi tawar pindah wang kemenangan ke akaun individu
Orang awam diminta waspada dengan e-mel tak ditentukan sahih

BANGI, 13 Ramadan 1444H, Selasa – Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak pernah menghantar sebarang e-mel kepada orang awam berhubung tawaran bantuan untuk memindahkan sejumlah wang kemenangan kepada akaun bank mana-mana individu.
Perkara itu ditegaskan MCMC dalam satu kenyataan hari ini, sebagai menafikan dakwaan kononnya ada mengeluarkan e-mel atau mesej tawaran bantuan memindahkan hadiah kemenangan berupa sejumlah wang sebanyak RM270,000 daripada syarikat Telekom Malaysia.
Sehubungan itu, MCMC mengingatkan orang awam untuk sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan e-mel yang tidak ditentukan kesahihannya.
“Elakkan daripada memberikan butiran peribadi seperti maklumat perbankan internet dan maklumat kad pengenalan kepada individu yang tidak dikenali.
“Pada masa yang sama, orang awam digesa untuk segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya mereka telah membuat transaksi perbankan kepada mana-mana akaun yang dikatakan untuk tujuan yuran pemprosesan sebelum hadiah kemenangan tersebut boleh dituntut,” katanya.