Berita Utama

Tiada laporan doktor kontrak di Perak sertai mogok

EXCO sahkan perkhidmatan hospital seluruh negeri tak tergendala

IPOH, 13 Ramadan 1444H, Selasa – Tiada doktor kontrak di Perak menyertai mogok sebagai memprotes isu perjawatan mereka yang masih tergantung, setakat semalam, kata Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri A. Sivanesan.

Sivanesan berkata, beliau mendapat maklum balas daripada Pengarah Kesihatan Perak bahawa kesemua doktor datang bekerja seperti biasa semalam melainkan mereka yang mengambil cuti tahunan atau kecemasan.

“Sebab apa yang kita difahamkan, mereka (ada antara doktor) telah ambil cuti, mereka meminta untuk ambil cuti kecemasan, mereka ambil cuti tahunan tak datang kerja, tetapi tuan pengarah kata mereka (yang lain) semua datang kerja,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) di sini, malam tadi.

Beliau turut mengesahkan perkhidmatan hospital di seluruh negeri ini tidak tergendala dengan langkah kumpulan doktor kontrak tertentu yang dilaporkan mahu melancarkan mogok di seluruh negara selama tiga hari mulai semalam sebagai memprotes isu perjawatan mereka yang masih tergantung.

Justeru, Sivanesan memaklumkan beliau berpuas hati dengan doktor kontrak terutamanya di negeri ini melibatkan sejumlah 1,611 individu kerana kesemuanya komited dengan tanggungjawab masing-masing dan hadir bekerja.

Pada 29 Mac lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kepada doktor kontrak bahawa 1,500 daripada mereka akan ditawarkan jawatan tetap pada tahun ini dan kerajaan memerlukan tiga tahun lagi untuk menyelesaikan masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi jawatankuasa peringkat tertinggi bagi menyelesaikan isu itu pada 2 April pula berkata kerajaan akan memastikan situasi menang menang dicapai supaya tiada pihak berasa rugi atau tersingkir.

Sementara itu, Sivanesan berkata beliau telah berjumpa dengan Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri semalam dan meminta kerjasama pihak polis untuk menyiasat dalang di sebalik penganjuran mogok berkenaan.

Dalam pada itu, menyentuh isu parkir di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, Sivanesan berkata beliau telah meminta kerjasama pihak polis supaya tidak mengeluarkan saman terhadap pelawat hospital itu yang meletakkan kenderaan di luar.

Pada masa sama, beliau memohon kerjasama polis untuk memberi kelonggaran kepada mereka hingga 23 Mei iaitu selepas tamat kerja-kerja mengubah suai tempat letak kenderaan di situ.

Pada 16 Mac, Kerajaan Negeri Perak dilaporkan akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa berkaitan untuk memohon pertimbangan supaya tidak mengeluarkan saman kepada orang ramai yang meletakkan kenderaan di luar pekarangan HRPB buat sementara waktu.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button