Berita Utama

Isu pelarasan pencen veteran belum selesai, alasan kerajaan mengelirukan

PVATM yakin kerajaan punyai kemampuan sepenuhnya buat keputusan terbaik demi veteran negara ini

KUALA LUMPUR, 14 Ramadan 1444H, Rabu – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) mempersoalkan alasan kerajaan terpaksa berbelanja besar setiap tahun, menjadi punca pelaksanaan pelarasan pencen masih belum dilaksanakan sehingga kini.

Walhal, Presidennya, Datuk Shaharudin Omar berkata, isu ini telah diperjuangkan persatuan sejak 10 tahun yang lalu lagi.

Justeru, beliau meminta kerajaan agar menghentikan kenyataan mengelirukan berhubung isu pelarasan pencen yang masih belum selesai.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahary berkata, penyelarasan pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi anggota yang bersara sebelum tahun 2013 memerlukan kemampuan kewangan sehingga RM107 juta setahun.

Katanya, pelaksanaan penyelarasan pencen itu memakan masa yang panjang daripada kerajaan-kerajaan terdahulu kerana kekurangan duit.

Tetap memperjuangkan isu ini, Shahrudin berkata, perbezaan pencen antara veteran bersara sebelum tahun 2013 dengan selepas tahun 2013 amat ketara sehingga 100 peratus.

“Jumlah yang terlibat dalam permohonan pelarasan pencen hanya seramai 78,546 dengan 73,233 (93.24 peratus) adalah terdiri dari anggota peringkat rendah yang berada dalam kategori B40 yang sebilangan besar tergolong sebagai miskin tegar,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Shaharudin berkata, PVATM berpendapat pihak kerajaan sendiri telah mewujudkan keadaan kekeliruan yang boleh mengundang ketidakpuasan dan kesangsian para veteran khasnya.

“Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melalui siaran media pada tahun 2022 memperakui Kewangan KWAP kini berjumlah RM136 bilion dan KWAP bersedia untuk tujuan pembiayaan bayaran pencen berkenaan atas arahan kerajaan, jadi di mana yang kata kerajaan tidak mempunyai kemampuan kewangan?,” soal Shaharudin.

Katanya, terlalu banyak kaedah penyelesaian yang telah dikemukakan kementerian melalui perbincangan, mesyuarat kajian bengkel dan perbincangan di peringkat tertinggi.

“PVATM merasakan pihak kerajaan mempunyai kemampuan sepenuhnya dengan kuasa kewangan, data yang lengkap dan kakitangannya yang berkeupayaan untuk memikir dan membuat keputusan yang terbaik demi kelangsungan hidup veteran negara ini,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button