Krisis doktor kontrak berlanjutan selagi isu lambakan graduan tak selesai
Terlalu banyak program perubatan diluluskan sejak 2010

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 14 Ramadan 1444H, Rabu – Krisis doktor kontrak sehingga wujudnya ‘mogok’ berlaku kerana isu tawaran dan permintaan tidak seimbang dalam bidang perubatan.
Presiden Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Profesor Dr Azizi Ayob mengakui negara berdepan lambakan graduan perubatan dari universiti awam dan swasta dalam dan luar negara sejak lebih 5 tahun lepas.
Katanya, kerajaan pada dasarnya maklum tentang perkara ini sejak dari awal 2010 apabila banyak program perubatan telah diluluskan.
Tetapi, perjawatan baharu dalam sektor perubatan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tertakluk kepada kelulusan daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Apa yang kita nampak hari ini ialah hasil daripada ketidaksesuaian polisi semasa dan kemampuan kerajaan mengambil mereka (para doktor) untuk jawatan tetap.
“Pada masa sama, tambahan jawatan baharu akan memberi kesan langsung kepada perbelanjaan tambahan (emolumen) dan pembayaran pencen kelak,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.
Beliau berkata, sudah tentu perkara ini boleh dinilai semula dan kerajaan boleh memberikan ‘faedah’ yang sama atau hampir sama dengan pegawai tetap, namun perkara ini tertakluk kepada perbelanjaan yang mampu ditanggung oleh pihak kerajaan.
“Pihak kerajaan wajar memberitahu keadaan dan kemampuan kerajaan untuk menanggung semua penjawat awam termasuk mereka yang bukan doktor.
“Tidak perlu lagi memberi 1,001 alasan dan janji yang lebih bersifat ‘populis’ sedangkan kerajaan tidak mampu menyerap semua doktor kontrak ke dalam skim perkhidmatan tetap,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menegaskan bahawa profesion lain tidak pernah dijanjikan dengan apa-apa jawatan tetap setelah para graduan keluar dari universiti.
“Sudah tiba masanya para doktor juga perlu bersedia untuk mencari kerja dan dimaklumkan lebih awal apabila mereka memulakan latihan ‘housemanship’,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak mampu menyelesaikan dan menyerap doktor kontrak ke dalam jawatan tetap Kementerian Kesihatan.
Ini disebabkan kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang terlalu besar jika menyerap lebih 20,000 pegawai perubatan berstatus kontrak.