Pelancong China dakwa diperas ugut diminta tampil ke hadapan
Persatuan mahu dengar cerita sebenar, elak nama baik negara terjejas

KUALA LUMPUR, 14 Ramadan 1444H, Rabu – Seorang pelancong dari China dalam video tular yang mendakwa dia diperas ugut oleh anggota polis digesa tampil ke hadapan.
Penasihat Malaysia-China Friendship and Mutual Aid Association, Datuk Seri Michael Chong berkata, rakaman insiden yang tular di media sosial, hanya menunjukkan sebelah pihak sahaja.
“Persatuan menggesa pelancong itu tampil ke hadapan supaya kami dapat memberi bantuan kepadanya dan mendapatkan kebenaran.
“Penting dia tampil dan menjelaskan perkara itu, termasuk memberi kenyataan kepada polis,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, hari ini.
Chong berkata, kejadian itu telah mencemarkan nama baik negara dan beliau menegaskan adalah penting untuk mendengar cerita sebenar.
“Video tular itu dipenuhi dakwaan tanpa sebarang bukti.
“Kami berharap pelancong serta pemandu e-hailing yang didakwa meminjamkannya RM100 itu tampil ke hadapan,” katanya seperti dilapor The Star.
Chong, yang juga Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, berkata, kejadian itu telah menyebabkan tekanan dan kebimbangan yang besar di kedua-dua negara.
Chong menggesa pelancong dan individu lain menghubungi persatuan itu di talian 03-7982 7885 atau melalui e-mel di [email protected].
Terdahulu, polis dilaporkan membuka kertas siasatan ke atas anggota pasukan itu yang didakwa memeras ugut seorang pelancong warga China kerana gagal menunjukan pasport.
Dalam video berdurasi satu minit 48 saat yang tular sejak Ahad memaparkan imej seorang anggota polis berlatar belakangkan papan tanda Memorial Tunku Abdul Rahman berhampiran bulatan Dato’ Onn, yang meminta dokumen pengenalan diri wanita itu.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, polis telah mengenal pasti anggota dan individu yang terlibat dalam kejadian itu.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengugut.