Rejim penjajah Israel mengganas tembak mati dua rakyat Palestin
Dituduh sebabkan kematian penceroboh haram ketika serangan Februari lalu

TEBING BARAT, 14 Ramadan 1444H, Rabu – Rejim pengganas Israel menembak mati dua rakyat Palestin di bandar Nablus, Tebing Barat yang diduduki, kata Kementerian Kesihatan Palestin.
“Dua rakyat terbunuh akibat tembakan di Nablus,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, selepas menyerbu dua bahagian bandar itu.
Mangsa dikenal pasti sebagai Muhammed Hallaq Al-Qatouni dan Muhammed Junaid Abu Bakr, yang bergabung dengan kumpulan pejuang Lions’ Den.
Mereka dituduh terlibat dalam serangan pada Februari yang mengorbankan dua warga Israel di bandar Huwara, Palestin.
Ketua Bulan Sabit Merah Palestin, Ahmad Jibril berkata, beberapa penduduk di kejiranan Al-Makhfiyeh cedera selepas terhidu gas pemedih mata yang dilepaskan pasukan pendudukan Israel.
Selain itu, dua rakyat Palestin, Izz Al-Din Touqan dan Nidal Tabanja, turut ditangkap selepas dituduh membantu Junaidi dalam pembunuhan orang Israel.
Berpuluh-puluh peneroka haram Israel menyerang Huwara pada bulan Februari dan menyerang beberapa rumah dan kenderaan Palestin.
Seorang rakyat Palestin terbunuh dalam serangan itu dan lebih 300 cedera.
Kematian Hallaq dan Junaid telah menjadikan jumlah rakyat Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel tahun ini kepada 94.
Tahun lalu dianggap paling maut bagi Tebing Barat yang diduduki sejak 2015, namun angka kematian tahun ini sudah melebihi jumlah kematian yang direkod pada 2022. – Agensi