Berita UtamaDunia

Iran nafi naikkan harga bahan api

Laporan palsu ganggu usaha tindak balas baik terhadap permintaan tinggi

TEHRAN, 15 Ramadan 1444H, Khamis – Menteri Minyak Iran, Javad Owji menolak laporan mengenai kenaikan harga bahan api yang akan berlaku di negara itu.

Beliau menegaskan, kerajaan akan terus menyediakan petrol dan diesel pada harga bersubsidi tinggi sekurang-kurangnya sehingga Mac 2024.

“Saya berkali-kali mengulangi (bahawa) kerajaan dan Parlimen sama sekali tidak bercadang untuk menaikkan harga petrol,” kata Owji kepada pemberita di luar mesyuarat Kabinet pada Rabu.

Menteri itu membuat kenyataan berkenaan susulan laporan disiarkan di media sosial mendakwa kerajaan Iran merancang untuk hampir menggandakan harga petrol dan diesel bagi mengawal peningkatan penggunaan dan penyeludupan bahan api.

Syarikat Penapisan dan Pengedaran Minyak Iran Kebangsaan (NIORDC) dalam satu kenyataan Rabu berkata, “laporan palsu” mengenai kenaikan harga bahan api bertujuan menjejaskan usahanya bertindak balas terhadap permintaan petrol yang mencatat rekod tinggi sepanjang musim antara akhir Mac dan awal April.

Angka Kementerian Minyak menunjukkan penggunaan petrol mencapai rekod sepanjang masa sebanyak 122 juta liter sehari di Iran sepanjang cuti Nowruz.

Iran mempunyai beberapa harga bahan api termurah di dunia. Satu liter petrol tanpa subsidi bernilai 30,000 riyal seliter ($0.06) di Iran yang merupakan sebahagian kecil daripada harga yang dikenakan di Eropah dan di AS. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button