Berita Utama

Malaysia kutuk serangan Israel di Masjid al-Aqsa

Desak bebaskan lebih 350 rakyat Palestin ditangkap

BANGI, 15 Ramadan 1444H, Khamis – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu rejim haram Israel terhadap rakyat Palestin dan pencerobohan ke atas Masjid al-Aqsa pada Rabu.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan menyifatkan tindakan pihak berkuasa Israel menyalahi undang-undang dan mencabul hak asasi manusia rakyat Palestin serta kesucian Masjid al-Aqsa.

Justeru, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) memastikan rejim Israel bertanggungjawab ke atas jenayah kejam itu.

Kementerian turut mendesak supaya pihak berkuasa Israel membebaskan segera lebih 350 rakyat Palestin yang ditangkap dalam insiden semalam.

“Masyarakat antarabangsa mesti menuntut rejim Israel menghentikan serta-merta sebarang tindakan provokasi demi kepentingan keamanan dan kestabilan.

“Malaysia akan terus berdiri dalam solidariti kuat dengan rakyat Palestin dan mengulangi status Al-Quds Al-Sharif sebagai tapak suci bagi umat Islam,” kata kementerian.

Pada masa sama, Malaysia berpegang teguh dengan pendiriannya bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara merdeka, berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Terdahulu, polis Israel bertindak menyerbu Masjid Al-Aqsa dengan mendakwa sejumlah perusuh bertopeng telah memasuki masjid dan menguncinya.

Menurut Palang Merah Palestin, seramai 12 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran itu, akibat tembakan peluru getah dan dipukul.

Beberapa jam selepas kejadian itu, rejim Israel kembali bertempur dengan rakyat Palestin untuk kali kedua di Masjid Al-Aqsa, ketika serbuan pada awal pagi dan menahan lebih 350 orang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button