Berita Utama

Pastikan rejim Israel bertanggungjawab atas serangan al-Aqsa

Tuntut Zionis hentikan serta-merta sebarang tindakan provokasi

KUALA LUMPUR, 15 Ramadan 1444H, Khamis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa komuniti antarabangsa khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memastikan rejim haram Israel bertanggungjawab terhadap serbuan ganas di kompleks Masjid al-Aqsa.

Menerusi kenyataan di akaun Twitternya, beliau menyifatkan serangan yang dilakukan rejim Zionis sebagai jenayah keji.

Beliau turut mendesak rejim Israel membebaskan segera semua tahanan Palestin yang ditahan ketika serbuan.

“Masyarakat antarabangsa mesti menuntut rejim Israel menghentikan serta-merta sebarang tindakan provokasi demi keamanan dan kestabilan.

“Malaysia terus berdiri dalam solidariti yang kuat dengan rakyat Palestin dan mengulangi status Al-Quds Al-Sharif sebagai tapak suci umat Islam,” katanya.

Tentera Israel menceroboh Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki untuk malam kedua berturut-turut dan menyerang jemaah Palestin yang menunaikan solat tarawih. 

Lebih 400 jemaah Palestin diserang dan ditahan dalam serbuan ganas di perkarangan masjid tersebut.

Menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan Palestin, polis Israel mula membebaskan tahanan dengan syarat mereka dikeluarkan daripada Masjid al-Aqsa dan Kota Lama Baitulmaqdis selama seminggu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button