Pemilik Crackhouse Comedy Club hantar representasi kedua gugur tuduhan
Rizal Van Geyzel didakwa hantar komunikasi jelik melalui Facebook

KUALA LUMPUR, 15 Ramadan 1444H, Khamis – Pemilik Kelab Komedi Crackhouse, Rizal Van Geyzel memfailkan surat representasi lain kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), bagi percubaan kedua mengugurkan tiga pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video yang menyentuh sensitiviti kaum.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Aslinda Che Seman mengesahkan kepada hakim Mahkamah Sesyen, Priscilla Hemamalini Nadarajan bahawa surat representasi kedua telah diserahkan pagi tadi.
Peguam Rizal atau nama sebenarnya Mohammad Rizal Johan Van Geyzel, M. Pravin turut mengesahkan perkara itu, dan berkata, mereka telah menyerahkan surat kedua itu susulan perkembangan baharu berkaitan kes itu, lapor NST.
Susulan itu, beliau telah meminta mahkamah mengosongkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada 14 April, dan 2, 3 serta 22 Mei, sementara menunggu keputusan representasi kedua.
Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa dia akan mengemukakan permohonan pada minggu depan untuk mendapatkan pasport antarabangsa anak guamnya kerana Mohammad Rizal akan menunaikan umrah pada 15 hingga 29 Mei.
Hakim kemudiannya menetapkan 31 Mei untuk pihak pendakwaan mengemas kini keputusan representasi kedua, serta mengekalkan 1 dan 2 Jun sebagai tarikh perbicaraan, yang telah ditetapkan lebih awal.
Sebelum ini, AGC telah menolak representasi pertamanya yang dikemukakan pada 12 Disember tahun lepas.
Mohamad Rizal, 41, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui Facebook ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’, antara 4 hingga 6 Julai 2022.
Hantaran itu dibaca di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ di sini, pada jam 1.17 tengah hari, 13 Julai tahun lalu.
Ketiga-tiga pertuduhan itu mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya serta boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.