Vape: Rakyat keliru terlalu banyak ‘u-turn’ dalam polisi kerajaan
Keputusan kecualikan cecair nikotin dari Akta Racun terlalu gopoh

BANGI, 15 Ramadan 1444H, Khamis – Pentadbiran Kerajaan Madani seperti tidak tegas dalam membuat sesuatu dasar dan polisi, termasuk keputusan mengecualikan cecair nikotin daripada Akta Racun 1952, baru-baru ini.
Buktinya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahu menyelidik dan berbincang semula mengenai pelaksanaan cukai vape, sekali gus mengelirukan rakyat terhadap penetapan dasar serta sesuatu polisi.
Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan mengakui keputusan itu sudah dapat diagak kerana KKM dilihat seperti terburu-buru tanpa mendapatkan pandangan daripada anggota Parlimen.
“Apa yang mereka tahu ialah buat dahulu baru semak dan pertimbangkan. Apabila terlalu banyak keputusan ‘u-turn’ dibuat oleh kerajaan, rakyat akan berasa keliru dan sedikit demi sedikit menghakis kepercayaan terhadap kerajaan.
“Seeloknya kerajaan ini pertimbangkan dengan sedalamnya berkenaan isu pembenaran nikotin untuk dijual ini,” katanya.
Fahmi berkata, langkah mengeluarkan cecair nikotin daripada Akta Racun 1952 sebagai keputusan tidak bijak dan gopoh.
“Sepatutnya memimpin negara perlukan perancangan dan agenda yang komprehensif demi melihat genarasi yang lahir selamat, jauh dari gejala vape dan memenuhi cita-cita menuju negara maju.
“Selaras dengan slogan Malaysia Madani, menjadi satu kewajiban kepada pemerintah untuk mengelakkan perkara yang mudarat yang berisiko merosakkan budaya masyarakat,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml) akan dikaji semula.
Beliau pada persidangan Dewan Rakyat Selasa lalu memberitahu, kerajaan juga akan meneruskan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) baharu bagi mengawal selia semua produk kawalan tembakau.