Berita Utama

Anwar akan tunjuk bukti Tun M kayakan diri ketika berkuasa

Tun M beri tempoh hingga 17 April untuk Anwar jawab surat undang-undang

SHAH ALAM, 16 Ramadan 1444H, Jumaat – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengemukakan bukti di sebalik dakwaannya bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyalahgunakan kedudukan sebagai bekas perdana menteri untuk mengkayakan diri dan keluarga.

“Saya tidak mahu melawan. Dia (Dr Mahathir) minta bukti dan saya akan tunjukkan bukti. Tiada masalah,” kata Anwar ketika berdialog dengan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, hari ini.

Dr Mahathir baru-baru ini memberi Anwar tempoh sehingga 17 April untuk menjawab surat undang-undangnya bagi membuktikan tuduhannya.

Dr Mahathir merujuk kepada kenyataan Anwar dalam ucapan dasar pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 pada 18 Mac.

Sementara itu, Anwar seperti dilapor The Star berkata, beliau tidak sama sekali menentang bekas kepimpinan Dr Mahathir, kerana pentadbiran negarawan itu mempunyai kebaikan dan keburukan.

“Tetapi, dia (Dr Mahathir) telah meninggalkan banyak kerosakan,” kata Anwar.

Pada masa sama, Anwar juga mengkritik Dr Mahathir kerana melabelkan orang Melayu sebagai pemalas dan pelupa secara negatif.

“Ia adalah tidak benar. Kaum mana yang tidak mempunyai orang yang malas atau pelupa? Setiap kaum memilikinya.

“Orang Melayu telah mencipta tokoh besar, pemikir dan juga cendekiawan. Jangan menghina,” kata Anwar.

Pada 18 Mac, Anwar, tanpa menyebut nama, merujuk kepada seorang pemimpin yang telah berkuasa selama 22 tahun dan tambahan 22 bulan, menyalahgunakan kedudukannya untuk memperkayakan keluarga dan dirinya.

Dr Mahathir, 97, berkhidmat sebagai perdana menteri keempat dari 1981 hingga 2003 dan selama 22 bulan lagi dari 2018 hingga 2020.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button