KKM anggap serius dakwaan aktiviti jual beli organ
Perlu siasat kes babitkan pemerdagangan orang

BANGI, 16 Ramadan 1444H, Jumaat – Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan sebarang dakwaan wujudnya aktiviti jual beli organ, perlu dianggap serius kerana ia adalah eksploitasi terhadap golongan tertentu dan bercanggah etika perubatan.
Justeru, semua pihak perlu mengambil berat sebarang tuntutan mengenai kewujudan aktiviti penjualan organ, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, jika terdapat aktiviti membabitkan pemerdagangan orang untuk tujuan jual beli organ, ia perlu disiasat di bawah Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007.
“Sekiranya mana-mana individu atau kumpulan yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti ini, mereka boleh tampil ke KKM atau pihak polis untuk menangani perkara ini.
“Pihak berkuasa boleh mengambil tindakan menggunakan peruntukan sedia ada di bawah Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007.
“Ini bagi mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak atau individu jika pemerdagangan orang berlaku untuk tujuan pengalihan organ secara haram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Dr Noor Hisham, perkhidmatan pendermaan organ dan transplantasi membabitkan pendermaan organ daripada penderma hidup atau selepas kematian serta penerima organ iaitu pesakit yang mempunyai masalah kegagalan organ, sama ada buah pinggang, hepar, jantung atau paru-paru.
Katanya, dasar KKM ini jelas sebagaimana dalam Akta Tisu Manusia 1974 yang mengawal selia aktiviti pengambilan organ bagi tujuan perawatan daripada penderma selepas kematian (kadaverik).
“Selain itu Malaysia juga telah menandatangani The Declaration of Istanbul on Organ Trafficking and Transplant Tourism (2008).
“Deklarasi ini menyatakan bahawa organ untuk tranplantasi haruslah diagihkan secara saksama kepada penerima yang sesuai tanpa mengenal jantina, etnik, agama mahupun status sosial atau kewangan,” katanya.
Beliau berkata, deklarasi itu juga menekankan bahawa komersialisasi transplantasi organ hendaklah dilarang kerana ia menyasarkan golongan miskin dan lemah yang menjurus kepada ketidakadilan.
Oleh itu, sebarang amalan yang menyasarkan individu atau golongan ini sebagai penderma organ adalah dilihat sebagai menggalakkan pemerdagangan organ, transplant tourism dan komersialisasi transplan.
“Bagi memperketat lagi tadbir urus perkhidmatan transplantasi di negara ini, KKM telah menubuhkan jawatankuasa tranplantasi yang mengawal selia program pendermaan organ di kalangan penderma semasa hidup melibatkan pasangan bakal penderma-penerima yang tidak mempunyai perkaitan kekeluargaan atau pasangan bakal penderma-penerima bukan warganegara.
“Jawatankuasa ini akan menilai aspek termasuk latar belakang masalah perubatan, kesihatan mental dan juga tahap sosio-ekonomi untuk semua permohonan pembedahan transplantasi bagi memastikan bakal penderma mempunyai sistem sokongan yang baik, serta kesejahteraan bakal penderma secara amnya tidak terjejas selepas pembedahan dilakukan,” katanya.