Mogok Doktor Malaysia gagal lumpuhkan perkhidmatan kesihatan
Bersifat ancaman, sanggup ambil kesempatan terhadap nyawa rakyat

BANGI, 16 Ramadan 1444H, Jumaat – Mogok Doktor Malaysia yang dirancang pada 3 hingga 5 April lalu, gagal melumpuhkan perkhidmatan kesihatan seperti dirancang penganjur.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, tindakan kumpulan itu dilihat lebih bersifat ancaman dan provokatif serta mempunyai kepentingan tertentu sehingga sanggup mengambil kesempatan terhadap keselamatan dan nyawa rakyat.
Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada semua petugas kesihatan yang sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan kepada rakyat, sekali gus menolak anjuran untuk mogok dalam kalangan doktor, baru-baru ini.
“Hebahan mengenai Mogok Doktor Malaysia yang telah ditularkan di laman sosial pada 3 hingga 5 April 2023, dan dijangka melibatkan 8,000-12,000 doktor-doktor kontrak, telah gagal melumpuhkan perkhidmatan kesihatan seperti yang dirancang oleh penganjur.
“Sehubungan itu, saya ingin menekankan bahawa mogok bukanlah satu jalan penyelesaian terbaik bagi menangani setiap permasalahan yang timbul, sebaliknya perkara tersebut perlu ditangani secara lebih berhemah dan profesional menerusi platform yang betul,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Zaliha berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) amat menghargai segala komitmen dan profesionalisme tinggi yang ditunjukkan petugas kesihatan dalam perkhidmatan awam.
“Keutamaan pesakit melebihi kepentingan peribadi terus menjadi inspirasi setiap daripada mereka.
“Kod etika profesional di kalangan pegawai perubatan dan yang lainnya perlulah dipelihara dan sentiasa menjadi pedoman ke arah memartabatkan institusi perubatan di negara ini kepada suatu anjakan paradigma yang sentiasa disegani,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut berterima kasih dengan kepimpinan tertinggi KKM, pengarah kesihatan negeri dan hospital serta ketua perkhidmatan dalam kesiapsiagaan berdepan sebarang kemungkinan ketika tempoh mogok itu.
Rancangan kumpulan doktor kontrak untuk mengadakan mogok selama tiga hari itu mencetuskan panik apabila mereka memutuskan untuk tidak hadir bertugas dengan mengambil cuti sakit atau cuti kecemasan.
Bagaimanapun, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menjelaskan tiada mogok doktor kontrak di kemudahan kesihatan awam di seluruh negara berlaku pada Isnin lalu.