PDRM nafi dalang seludup mercun
Tak kompromi anggota terbabit kegiatan menyalahi undang-undang

BANGI, 16 Ramadan 1444H, Jumaat – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan mendalangi kegiatan penyeludupan mercun, seperti digambarkan dalam laporan akhbar Harian Metro ‘Polis jadi dalang seludup mercun’ bertarikh hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kes yang dilaporkan telah diambil tindakan, di mana suspek seorang anggota polis ditahan bersama seorang lelaki orang awam kerana terbabit dalam aktiviti pengedaran mercun.
Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan dan direman selama empat hari bermula 5 hingga 8 April bagi membantu siasatan, sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Selain siasatan jenayah, PDRM juga akan mengambil tindakan dalaman ke atas suspek polis berkenaan yang didapati menyalahgunakan kenderaan pasukan di luar waktu bertugas bagi menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang.
“PDRM tidak pernah berkompromi dengan mana-mana warga polis yang terlibat dengan kegiatan jenayah dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya menerima bukti sebarang perlakuan demikian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, PDRM mengalu-alukan masyarakat untuk menyalurkan maklumat sahih bagi membolehkan tindakan diambil dalam membanteras sebarang salah laku atau aktiviti menyalahi undang-undang.