Tarbiyah

Ramadan dan tradisi

Apa saja cara kejutkan orang bangun sahur dikira dapat pahala

SEJARAH buat kita bersangka baik dengan umat terdahulu juga berwaspada dengan umat terkemudian. Orang yang hebat, akan menjunjung tinggi sejarah dan tradisinya. Dia juga sentiasa bersederhana dalam menilai budaya-budaya lain yang dirasakan jauh dari tradisinya.

Ketika bulan Ramadan, ramai orang mengulas dari aspek hukum, fadilat dan pantang-larangnya. Amat jarang sekali kupasan dibuat dari aspek tradisi sambutan Ramadan dalam masyarakat. Ada beberapa perkara yang menarik untuk dibincangkan supaya kita sedar bahawa ada sesetengah tradisi yang kita lakukan, bukanlah perkara yang baru diada-adakan sebaliknya merupakan hasil kearifan ulama-ulama silam sama ada dalam dunia Islam secara umum mahupun di Nusantara secara khusus.

Tradisi mengejutkan sahur

Menurut Syeikh Atiyyah Saqar dalam buku Fatawanya, apa-apa cara yang dibuat oleh orang Islam untuk mengejutkan orang bangun sahur dikira mendapat pahala kerana ada anjurannya daripada Nabi SAW. Ini kerana, dalam Islam terdapat dua azan pada waktu pagi. Satunya azan yang dilaungkan oleh Sayidina Bilal r.a. untuk mengejutkan orang bangun sahur dan satu lagi azan daripada Abdullah ibn Ummi Makhtum bagi menandakan waktu solat Subuh. Azan Bilal ini adalah sebahagian contoh cara untuk mengiklankan atau menyeru orang lain untuk bangun sahur.

Sekitar tahun 238 H, ketika Utbah bin Ishak, seorang gabenor zaman al-Muntasir Billah ke Mesir, beliau sendiri telah menghidupkan tradisi mengejutkan orang untuk bersahur dengan cara berjalan kaki dari kota Fustat ke Masjid Amru di kota lama Kaherah. Jarak antara kedua-duanya kira dua kilometer. Di Mesir juga ada kumpulan penggerak sahur yang digelar al-musahharati (tukang kejut sahur). Mereka ada lagu mereka sendiri yang disebut Fan al-Quma (seni mengejutkan tidur).

Cumanya, ketika penulis berada di Mesir dahulu, kebanyakan penggerak sahur ini tiada sebarang lagu pun. Mereka akan menunggang keldai dan memukul tong gas atau gendang sambil mengulang-ngulang kalimah sahur sekuat hati. Kadang-kadang berselang seli dengan bunyi keldai mereka yang sangat membingitkan telinga. Apa-apa pun, semoga mereka beroleh ganjaran.

Di Mekah pula, pada zaman dahulu ada seorang lelaki bergelar al-Zamzami yang akan mengelilingi bandar dengan kanak-kanak untuk mengajar orang bersahur. Mereka akan berjalan dengan pelita ‘fannus’ atau tanglung Ramadan. Kemudian mereka akan naik ke atas menara masjid di tempat azan sambil menyuruh kana-kanak menjerit:

يا نياما قوموا للسحور

Wahai orang yang tidur, bangunlah untuk bersahur

Di kota Baghdad pula, ada orang bernama Ibnu Nuqtah yang mana mempunyai satu tugas khas iaitu sebagai tukang kejut sahur sultan. Nampak macam mudah tapi bagi saya ia suatu tugas yang boleh dikatakan lebih bahaya dari menyambung ekor beruang. Silap cara dan haribulan, boleh hilang kepala dari badan. Kesemua tradisi ini disebutkan oleh Syeikh Atiyyah Saqar dalam bukunya.

Sejarah pelita dan tanglung Ramadan

Di sinilah dikatakan bermulanya tradisi tanglung Ramadan. Pelita yang dibawa mengelilingi kampung dan diletakkan di tempat azan. Dikatakan, Ibn Batuttah sendiri ketika dalam pelayarannya, melihat dua pelita di menara Mekah pada bulan Ramadan. Katanya:

كانوا يعلقون قنديلين ليراهما من لم يسمع الاذان ليتسحروا

Mereka menggantungkan dua pelita supaya orang yang tidak mendengar azan boleh nampak kedua-duanya untuk bersahur

Hari ini, ada sesetengah orang menolak tradisi memasang pelita di rumah pada bulan Ramadan. Kata mereka, ia merupakan budaya Hindu yang mesti dijauhkan. Hakikatya, apa yang masyarakat kita amalkan ada sandarannya dalam sirah-sirah terdahulu. Bila kita tahu hal-hal sebegini, ia buat kita lebih menghargai tradisi dan budaya yang sedia ada serta tidak mudah-mudah menghukumkan sesat amalan yang kita tidak tahu.

Itulah pentingnya ilmu. Ia menjadikan kita lebih bersangka baik terhadap sesuatu. Lagipun, kalau betul segala yang asalnya dari Hindu itu perlu ditolak, istilah puasa itu sendiri yang sepatutnya diubah terlebih dahulu. Guna sahaja istilah ‘al-Shaum’ atau ‘al-Shiam’ (puasa) atau istilah tahan lapar. Ini kerana puasa itu sendiri diambil daripada perkataan Sanskrit yang merupakan sebahagian istilah keagamaan dalam Hindu.

Puasa dari segi etimologinya berasal daripada perkataan ‘upa vasa’. Upa bermaksud jadi dan vasa bermaksud dekat. Dari segi makna asal, apa-apa perkara yang mendekatkan seseorang kepada tuhan disebut puasa.  Dalam bahasa Arab ia hampir kepada istilah ‘al-Qurbah’ iaitu mendekatkan diri kepada Allah. Cumanya, istilah puasa ini lebih terserlah dan digunapakai untuk perbuatan menahan diri dari lapar dan dahaga sehinggalah digunakan oleh kita umat Islam hari ini.

Sejarah meriam Ramadan

Syeikh Atiyyah Saqar juga pernah ditanya tentang asal-usul tembakan meriam di bulan Ramadan. Menurut beliau, tradisi membunyikan meriam ini berasal dari kerajaan Mesir pada kurun ke-9 Hijrah. Seorang gabenor besar di Iskandariah bernama Khusqadam telah dihadiahkan sebuah meriam dan beliau telah mencubanya buat kali pertama ketika waktu maghrib 1 Ramadan.

Rakyat menyangka meriam itu dibunyikan bersempena dengan kedatangan Ramadan lalu mereka datang ke istana untuk mengucapkan ucap tahniah. Mereka menemui isteri gabenor iaitu Hajah Fatimah dan mencadangkan agar dibunyikan meriam setiap hari Ramadan untuk menandakan waktu azan Maghrib. Hajah Fatimah mengusulkannya kepada gabenor dan usul diterima. Meriam itu akhirnya dinamakan dengan nama midfa’ (meriam) Hajah Fatimah sempena peristiwa tersebut. Snouck Hugronje, seorang tokoh orientalis Belanda yang telah menziarahi Mekah pada zamannya memperakui bahawa tradisi menembak meriam ini juga ada di bumi Mekah ketika Ramadan.

Di Malaysia pun kita amalkan tradisi bunyi meriam ini. Contohnya setiap hari dalam bulan Ramadan, meriam akan ditembak di Bukit Puteri, Terengganu. Kalau zaman Sultan Zainal Abidin iii (1881-1918) dahulu, sebelum tradisi meriam, mereka menggunakan genta atau loceng besar yang sekarang ini masih ada di atas Bukit Puteri. Begitu juga di tempat lain seperti di Bandar Diraja Pekan, Pahang.

Bilangan tembakan meriam di Bukit Puteri

Waktu Bilangan
Berbuka 1 kali
Sahur 2 kali
Pengisytiharan puasa 7 kali
Pengisytiharan raya 7 kali
Pagi raya 7 kali

Dr Abdul Wahab Md. Ali
Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Cawangan Dungun, Terengganu

                         

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button