Sasaran Ab Rauf Melaka sifar pembangkang lawak, tak masuk akal
Kerajaan baharu masih rapuh, tiada bukti pencapaian bangunkan Melaka

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 16 Ramadan 1444H, Jumaat – Sasaran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh supaya kerajaan negeri pimpinannya sifar pembangkang menjelang pembentangan Enakmen Anti Lompat Parti, disifatkan sebagai lawak dan tidak masuk akal.
Terdahulu, Raof berkata, harapannya menjelang Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jun ini, adalah kedua-dua wakil rakyat daripada Perikatan Nasional (PN) dapat menyertai Kerajaan Perpaduan yang sudah dibentuk ketika ini.
Mengkritik sasaran itu, Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad menegaskan, di peringkat persekutuan sendiri, tidak wujud kerajaan perpaduan atau ‘unity government’.
“Jadi mana mungkin Melaka mewujudkan kerajaan tanpa pembangkang. Sebab setiap parti mesti mengikut hala tuju yang ditetapkan pemimpin utama mereka di peringkat nasional,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Bukan itu sahaja, beliau berkata, sebenarnya kestabilan kerajaan negeri yang baharu sahaja dibentuk ini adalah sangat rapuh dan tiada kekuatan, selain tidak terbukti lagi pencapaian prestasi yang baik bagi membangunkan negeri Melaka.
“Jadi apa daya tarikan yang Datuk Raof ingin utarakan supaya Perikatan Nasional menyertai mereka.
“Tidak nampak logik, tarikan atau ‘wow factor’ untuk menyertai kerajaan campuran yang sangat rapuh dan didominasi oleh pemimpin kurang berpengalaman, pemimpin DAP yang ada hala tuju dan agenda tersendiri. Ini amat merisaukan kita,” katanya.
Beliau berpandangan, model kerajaan perpaduan tidak sesuai dipraktikkan di Malaysia sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan.
“Ini kerana kita masih belum matang dalam berpolitik. Kita lihat sahaja aksi dan gelagat ahli politik kita, sejak 2 hingga 3 tahun kebelakangan ini.
“Jadi kita memerlukan sistem semak imbang yang baik. Kita masih memerlukan pembangkang. Dan ini yang terbaik untuk Melaka dan untuk Malaysia,” katanya.