Anwar patut segera kemuka bukti dakwaan Tun M bolot harta
Tak perlu cakap banyak, tunjuk sahaja bukti jika dakwaan benar

BANGI, 17 Ramadan 1444H, Sabtu – Dakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau membolot kekayaan untuk dirinya dan keluarga sepanjang perkhidmatannya wajar disertakan dengan bukti yang jelas.
Bekas Ketua Parti Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, apabila seseorang membuat tuduhan, individu berkenaan perlu bertanggungjawab dan menyediakan bukti terlebih dahulu.
“Dalam hal ini, Anwar tidak perlu bercakap banyak sebaliknya bertindak terus dengan tuntutan undang-undang yang dikemukakan oleh Dr Mahathir.
“Takkan sehingga kini Anwar baru nak kumpul bukti, yang saya sedari sejak 1998 lagi beliau sudah mula menuduh dan membuat tohmahan kepada Dr Mahathir kononnya beliau mempunyai pelbagai bukti sahih.
“Jadi keluarkan saja bukti-bukti yang sepatutnya sudah sedia ada untuk tatapn keseluruhan rakyat Malaysia kenapa nak tunda pula,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 18 Mac lalu, Perdana Menteri dalam ucapan di Kongres Nasional Khas PKR 2023 menuduh bekas pemimpin yang berusia 97 tahun membolot harta demi sepanjang berkhidmat.
Dr Mahathir pula mendakwa kenyataan yang dikeluarkan Anwar berbaur fitnah dan menggesa Ahli Parlimen Tambun itu mengemukakan bukti sekiranya tuduhan itu berlaku.
Justeru, Dr Mahathir memberikan tempoh selama seminggu kepada Anwar untuk menarik balik tuduhan berkenaan.
Bagaimanapun, pada 4 April lalu, Anwar memohon masa untuk menjawab surat kepada Dr Mahathir.
Pada masa sama, Khairuddin berpandangan, penangguhan untuk menjawab tuntutan undang-undang Dr Mahathir jelas membuktikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tiada asas kebenaran.
Tegas beliau, apabila seseorang membuat tuduhan dia perlu menyediakan bukti terlebih dahulu kerana secara lazim amalan tersebut akan berakhir dengan saluran undang-undang.