Berita Utama

Kaum minoriti dalam senarai bilionair Malaysia bukti orang Melayu tak angkuh

‘Kerana toleransi Melayu tinggi negara capai keamanan hingga hari ini’

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 17 Ramadan 1444H, Sabtu – Senarai bilionair terkaya di Malaysia diterbitkan Forbes Billionaire List yang menunjukkan hanya seorang sahaja Melayu tersenarai berbanding ramai lagi bangsa lain jelas membuktikan pribumi tetap meraikan bangsa lain.

Demikian respons Naib Presiden BERJASA, Abdul Samad Ashaari menyanggah kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya orang Melayu tidak terlalu selesa dengan menganggap kelompok minoriti lain tidak boleh diraikan untuk hidup bersama dalam sebuah negara.

“Terbukti di sini walaupun bangsa Melayu yang merupakan bangsa pribumi dan majoriti di negara ini tetapi tetap meraikan bangsa bangsa lain.

“Bukan itu sahaja kaum lain juga diberi kebebasan sehingga kaum minoriti lebih kaya dari kaum majoriti dalam bidang ekonomi dan bidang bidang lain,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Abdul Samad menegaskan, sejak Merdeka, orang Melayu merupakan bangsa yang amat bertoleransi dalam menerima kepelbagaian bangsa, budaya dan agama.

“Kontrak Sosial merupakan bukti keterbukaan dan pengorbanan orang Melayu menerima bangsa lain dan dan saling bergantung hidup dengan harmoni dalam negara ini.

“Bukan sekadar berkongsi untuk menerima kepelbagaian kaum dalam negara ini malah orang Melayu juga rela memberi puluhan ribu ekar tanah kepada bangsa lain ketika itu,” tegas beliau.

Bagi Abdul Samad, kenyataan Anwar supaya orang Melayu di negara ini tidak terlalu selesa dan angkuh hingga meminggirkan kaum lain adalah tidak benar sama sekali dan ia sudah tentu mengguris hati rakyat di negara ini.

Tegasnya, seharusnya semua pihak harus menerima hakikat bahawa toleransi orang Melayu yang tinggi inilah sebagai faktor utama keamanan negara dapat dikecapi hingga ke hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button