Berita Utama

PN kutuk tindakan kejam Zionis

Gesa Malaysia lebih lantang, usaha sedaya upaya tekan institusi antarabangsa

BANGI, 17 Ramadan 1444H, Sabtu – Perikatan Nasional (PN) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam tentera Zionis Israel yang telah beberapa kali menceroboh pekarangan Haram Al-Sharif dan melakukan serangan tidak berperikemanusiaan terhadap jemaah awam Palestin di Masjid al-Aqsa semenjak beberapa hari lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan tersebut yang terus menerus berlaku merupakan perbuatan keji dan tidak boleh diterima, apatah lagi dilakukan pada bulan Ramadan yang mulia ini.

“Perbuatan biadab rejim Zionis tersebut juga telah dilakukan hanya sehari selepas Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHRC) meluluskan usul A/HRC/52/L.32 yang ditaja Malaysia mengenai hak rakyat Palestin dan penempatan haram Israel di tanah air Palestin.

“Justeru, kerajaan Malaysia tidak boleh berdiam diri dan perlu terus melakukan segala yang upaya untuk menekan institusi antarabangsa, sama ada melalui saluran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ataupun Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk campur tangan bagi menghentikan kekejaman dan jenayah Israel serta membebaskan semua tahanan Palestin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, serangan keterlaluan dan provokatif tersebut memberi kesan serius terhadap keselamatan dan kestabilan di rantau Timur Tengah dan menjejaskan sebarang usaha memulihkan proses damai.

Laporan media mendedahkan keganasan yang sama berlaku pada bulan Ramadan pada tahun 2021 dan 2022.

“Peningkatan keganasan terhadap rakyat Palestin ini jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

“Ketegangan antara Israel dan Palestin telah mencapai titik didih sejak beberapa hari kebelakangan ini.

“Adalah wajar bahawa PBB semasa mengecam serangan itu, meningkatkan usaha untuk mempertanggungjawabkan Israel atas kelakuannya yang tidak boleh diterima,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan sebagai anggota UNHRC bagi sesi 2022-2024, Malaysia perlu lebih lantang dan berperanan dalam mendesak supaya tindakan segera diambil untuk menghentikan pencerobohan, sekali gus membantu rakyat Palestin yang telah secara berterusan dizalimi dan dinafikan hak mereka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button