Dunia

Iran pasang kamera di tempat awam kesan wanita tak bertudung

Individu langgar peraturan berdepan hukuman denda, penjara

TEHRAN, 18 Ramadan 1444H, Ahad – Pihak berkuasa Iran mula memasang kamera di tempat awam untuk mengenal pasti wanita yang tidak bertudung, lapor Saudi Gazette.

Polis berkata, mana-mana wanita yang dilihat tidak bertudung akan menerima mesej amaran mengenai kesannya.

“Ini akan membantu mencegah penentangan terhadap undang-undang berhijab,” kata polis.

Protes dicetuskan tahun lalu susulan kematian seorang wanita muda Kurdish, Mahsa Amini di dalam tahanan polis, yang ditahan kerana didakwa melanggar peraturan berhijab.

Sejak kematian Mahsa, semakin ramai wanita di Iran menanggalkan tudung mereka, terutama di bandar-bandar besar, walaupun berisiko ditangkap.

Atas sebab itu, polis bertindak memasang sistem kamera pintar dan alat lain berkaitan untuk mengenal pasti serta menghantar dokumen dan mesej amaran kepada individu yang melanggar undang-undang bertudung.

Wanita di Iran diwajibkan untuk menutup rambut mereka dengan tudung sejak Revolusi Islam 1979 mengenakan tafsiran ketat hukum agama.

Mereka yang melanggar undnag-undang itu akan berdepan hukuman denda atau dipenjara.

Kenyataan polis pada Sabtu menyifatkan tudung sebagai salah satu asas tamadun negara Iran dan menggesa pemilik perniagaan untuk mematuhi peraturan melalui pemeriksaan terperinci.

Bagaimanapun, ketua badan kehakiman Iran, Gholamhossein Mohseni-Ejei memberi amaran bahawa tindakan keras yang meluas mungkin bukan cara terbaik untuk menggalakkan wanita mematuhi peraturan.

“Masalah budaya mesti diselesaikan dengan cara budaya… Jika kita mahu menyelesaikan masalah sebegini dengan menangkap dan memenjarakan, kos akan meningkat dan kita tidak akan lihat keberkesanan yang diinginkan,” katanya.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button