Berita Utama

Konflik dalaman berisiko gugat kedaulatan negara

Elak cetuskan sentimen ganggu ketenteraman awam

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 18 Ramadan 1444H, Ahad – Isu keselamatan dan kedaulatan negara tidak tertumpu ancaman luar semata-mata, sebaliknya konflik dalaman membabitkan kesatuan masyarakat juga boleh menggugat ketenteraman awam.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, soal keselamatan dan kedaulatan negara adalah satu perkara kompleks dan tidak wajar diperkatakan secara umum kerana faktor sensitiviti.

Justeru, untuk menentukan keselamatan negara terjamin, semua pihak perlu memastikan bahawa tiada ancaman dalaman diwujudkan bagi menggugat keamanan.

“Seharusnya kita elak daripada percubaan untuk menyamakan perkara yang tidak wujud atau sesuatu sentimen yang berpotensi mendatangkan panik awam dan berpotensi menggugat ketenteraman awam.

“Di sini saya lihat kalau ingin menentukan keselamatan negara terjamin, maka kita perlu menentukan dalaman kita tidak wujud suatu perkara yang boleh menggugat keamanan kita sendiri.

“Ini kerana ia melibatkan hubungan antara masyarakat dan kita semua harus lebih bertanggungjawab agar tidak mencari populariti dengan menjual sentimen-sentimen yang tidak perlu dan tidak realistik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam bual bicara bertajuk ‘Malayan Union: Ancaman berterusan kepada perjuangan Melayu’ di Facebook Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), hari ini.

Mengulas lanjut, Musa percaya Malaysia masih sebuah negara yang terjamin kedudukan dan keselamatan, selain mempunyai mekanisme untuk mempertahankan kedaulatannya daripada ancaman luar.

“Malaysia tidak bersendirian di rantau ini kerana Persekutuan Malaysia juga anggota ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mempunyai kefahaman atau kesepakatan di bawah Majlis Keselamatan ASEAN.

“Malah, Malaysia juga mempunyai beberapa perjanjian bilateral dengan banyak negara termasuk kuasa-kuasa besar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan ancaman luar tetap berlaku di negara ini, di mana cuba menggugat pemikiran dan ideologi golongan muda melalui pengaruh teknologi serta media massa.

“Untuk menentukan keselamatan negara  terjamin, ia mesti wujud masyarakat yang bersatu dan tidak berpercah.

“Ini penting kerana ahli-ahli politik juga perlu menentukan bahawa tiada perpecahan antara mereka berlaku dalam negara ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button