MPKj digesa segera buka sekatan Jalan Zamrud Utama-Jalan Kelisa 2
Ada batu penghalang, diletak dengan 'endorsement' tak bertulis dari MPKj

JAM 1.36 petang, Ahad 9 April 2023, group WhatsApp penduduk Residensi Zamrud, Kampung Sungai Tangkas, Kajang digemparkan dengan visual seorang wanita duduk di posisi bahaya di luar rumahnya.
Keadaan wanita ini seperti tak bersemangat. Kedudukan rumah ini adalah 8 tingkat dari tanah.
Jiran-jiran segera menghubungi bomba. Namun, malang seribu malang, bomba tak dapat masuk ke Residensi Zamrud dari jalan terdekat, iaitu Kampung Sungai Tangkas. Ini disebabkan ada batu penghalang yang diletakkan oleh penduduk kampung, dengan ‘endorsement’ tak bertulis dari MPKj.
Akibatnya, Bomba terpaksa mengubah haluan dan pusing jauh untuk masuk melalui flyover Kajang 2.
Alhamdulillah, tiada kemalangan direkodkan. Setelah penduduk berhimpun di bawah, pelaku masuk ke dalam rumah.
Atas insiden ini, saya menyeru:
1. MPKj segera membuka sekatan Jalan Zamrud Utama – Jalan Kelisa 2, atau menawarkan penyelesaian yang lebih baik dan selamat, selaras dengan seruan YB Syahredzan Johan dalam mesyuarat MPKj-Penduduk-YB pada 29 Disember 2022.
2. Penduduk meningkatkan kecaknaan dan kepedulian terhadap jiran-jiran, termasuklah memberi sokongan emosi dan mengetahui Khabar terkini mereka.
Semoga Residensi Zamrud terus kekal sifar kemalangan dan kejadian tak diingini.
BILAL JAILANI
Pengerusi,
JMB Res. Zamrud Blok E