Berita Utama

Pemimpin kena jadi contoh, biar orang tengok Melayu bersih dan tak korup

Dasar kerajaan mesti amal keseimbangan ikut al-Quran

KUALA LUMPUR, 18 Ramadan 1444H, Ahad – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu setiap dasar yang dibuat oleh Kerajaan Perpaduan mengamalkan keseimbangan sepertimana ditekankan dalam al-Quran.

Beliau berkata, ini bagi memastikan pelaksanaan dasar secara menyeluruh kepada setiap lapisan masyarakat.

“Sebab itu tidak boleh langgar segala bukit bukau dirobohkan, pokok balak ditebang sesuka hati, jahanam kerana tiada equilibrium atau keseimbangan (diamalkan)… bila kerosakan berlaku, (bencana) akan selalu menimpa rakyat terutama rakyat yang lebih rendah kedudukan mereka atau miskin.

“Apabila seseorang itu diamanahkan atau dilantik (sebagai) menteri, beliau mewakili semua rakyat maknanya keluhan rakyat mesti didengar dan dasar kerajaan mesti mengambil kira perimbangan yang disebut dalam al-Quran,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, pemimpin Melayu dan Islam tidak seharusnya hanya berbicara mengenai soal hidup bangsa Melayu dan berjuang menggunakan agama Islam sebaliknya perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada masyarakat.

“Biar orang tengok ada orang Melayu yang bersih dan tidak korup, menjaga serta prihatin terhadap nasib orang yang susah dan miskin,” katanya.

Sempena Hari Nuzul Al-Quran yang disambut semalam, Anwar menyeru umat Islam supaya memanfaatkan ia dengan membaca, menghadam dan seterusnya memahami ayat-ayat dalam kitab suci itu.

Nuzul Al-Quran merujuk kepada peristiwa turunnya ayat al-Quran pertama kepada Nabi Muhammad SAW pada malam Jumaat, 17 Ramadan di Gua Hira, Makkah iaitu tahun ke-41 keputeraan baginda. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button