Pindaan AUKU: Kebebasan berpolitik mesti ke arah membina negara
Dakwaan akta zalim, tak demokratik dan kongkong mahasiswa kurang tepat

BANGI, 18 Ramadan 1444H, Ahad – Pindaan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) bukan semata-mata soal hak atau kebebasan pelajar, namun hakikatnya adalah bagi melahirkan graduan sebagai warganegara yang baik.
Bagaimanapun, AUKU sering kali disalah faham apabila hanya disorot dalam konteks kebebasan pelajar terfokus dalam Seksyen 15 dan 16, kata Timbalan Naib Canselor UMT, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain.
“Persepsi kurang tepat ini juga mempengaruhi pemikiran sekelompok anak muda di universiti untuk menolak AUKU, malah melabelkannya sebagai akta zalim, tidak demokratik dan mengongkong mahasiswa.
“Tindakan ini tidak ubah seperti pepatah mengatakan marahkan nyamuk, kelambu dibakar,” katanya menulis dalam artikel disiakan Berita Harian.
Mengulas lanjut, Dr Izani berkata, kebebasan berpolitik mesti melangkaui politik kepartian, yang mana mesti bersifat politik membina negara.
Justeru, penubuhan cawangan parti politik di kampus tidak dibenarkan.
“Sebaliknya, kebebasan berpolitik pelajar mesti memperlihatkan lebih banyak penyertaan mahasiswa membangunkan negara dengan tawaran dan idealisme sendiri yang kreatif lagi inovatif,” katanya.
Selain itu, pindaan AUKU memberi banyak pemerkasaan kepada mahasiswa tidak bermakna mereka mempunyai kebebasan mutlak.
Kebebasan mengurus kewangan misalnya yang akan diberikan selepas pindaan AUKU hujung tahun ini, mesti dipertanggungjawabkan.
“Di sini letaknya kepentingan integriti dan nilai memelihara kebebasan agar terus dipandu secara bijaksana dan tanggungjawab,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dijangka membentangkan Rang Undang-Undang berhubung cadangan pindaan dua peruntukan di bawah AUKU 1971 pada persidangan Parlimen hujung tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pindaan akta tersebut akan lebih memfokuskan kepada Seksyen 15 dan 16 iaitu peruntukan yang berkaitan dngan pelajar.
Draf bagi pindaan akta itu akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) sekitar pertengahan Jun ini.