Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Fokus buru Lailatul Qadar daripada ‘sibuk’ teka tarikh 1 Syawal

Akurlah ketetapan Majlis Raja-Raja dalam tentukan Aidilfitri melalui ru'yah, hisab

BANGI, 19 Ramadan 1444H, Isnin – Umat Islam sepatutnya menumpukan perhatian untuk memburu Lailatul Qadar, daripada menyibukkan diri dengan meneka tarikh Aidilfitri sama ada jatuh pada Jumaat atau Sabtu.

Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS), Datuk Zamri Hashim berkata, Islam memberikan hak kepada pihak berautoriti dalam menentukan tarikh Aidilfitri dan kalendar puasa.

Katanya, ini bagi menjaga kesatuan umat Islam dalam menyambut musim ibadah serta perayaan, untuk mencapai maqasid perayaan itu sendiri iaitu meraikan kebesaran dan syiar agama secara bersama.

“Umat Islam dinasihatkan akur kepada ketetapan Majlis Raja-Raja dalam menentukan awal Syawal melalui ru’yah dan hisab yang meletakkan kaedah ‘imkanur ru’yah’ (yakni kebolehmungkinan untuk melihat anak bulan) sebagai kaedah penting serta tidak terpengaruh dengan jangkaan tarikh Aidilfitri di negara lain.

“Ini disebabkan perbezaan matla’ dan metodologi yang berbeza dalam penentuan awal bulan hijrah di negara masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, beliau menasihatkan umat Islam untuk mencontohi amalan dan semangat para salafussoleh yang sangat mengharapkan mereka hidup di dalam Ramadan sepanjang tahun kerana mengetahui besarnya nilai bulan berkenaan.

Beberapa kebelakangan ini, tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp mengenai hebahan tarikh hari raya pada tahun ini yang dikatakan jatuh pada 21 April (Jumaat), sedangkan pada kalendar adalah 22 April iaitu hari Sabtu.

Isu ini tercetus selepas Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjangkakan akhir Ramadan pada hari Khamis iaitu 20 April 2023.

Bagaimanapun, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu kenyataan menjelaskan, pengisytiharan tarikh 1 Syawal pada setiap tahun di Malaysia dibuat oleh Penyimpan Mohor-Mohor Besar Raja-Raja (PMBBR) dan akan diumumkan melalui media utama.

Pengumuman itu pula dibuat sejurus selepas menerima laporan hasil cerapan anak bulan yang dibuat di 29 lokasi cerapan rasmi setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada petang Khamis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button