Berita Utama

Isu pengampunan diraja Najib hanya burukkan lagi imej UMNO

Transformasi UMNO patut tumpu keluarkan Zahid dari parti

BANGI, 19 Ramadan 1444H, Isnin – Isu permohonan Pengampunan Diraja yang sedang diusahakan UMNO ke atas bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak hanya akan memburukkan lagi imej parti itu di mata rakyat.

Naib Presiden BERJASA, Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad berkata, UMNO sepatutnya fokus memperbaiki imej dan gerak kerja parti selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Beliau berkata, ketiadaan Najib yang sebelum ini dianggap sebagai ‘beban’ kepada parti seharusnya mempercepatkan lagi proses transformasi berkenaan.

“Apa asas pengampunan terhadap perompak terbesar dalam sejarah negara ini?

“Mengapa UMNO yang berada dalam kerajaan yang memperjuangkan integriti kini ingin membebaskan perompak yang telah terbukti bersalah?,” katanya.

Atas sebab itu, Muhammad Lukman tidak bersetuju dengan rancangan UMNO memohon pengampunan bagi pihak Najib kerana boleh dipertikaikan secara teknikal jika mengikut prosedur sedia ada.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu dipenjara pada 23 Ogos 2022 dan pernah memohon pengampunan pada 2 September 2022, bermakna Najib hanya boleh meminta semula pengampunan pada 23 Ogos 2025.

“Kalau pun isu teknikal ini selesai, hakikatnya motif UMNO untuk meminta pengampunan bagi pemimpin tertinggi negara yang telah terbukti bersalah itu sangat lemah, tidak berprinsip dan bakal memburukkan lagi imej parti di mata rakyat Malaysia.

“Mengikut rekod, keputusan terhadap Najib mendapat konsensus semua hakim dan semasa rayuan dibuat dan kelima-lima hakim juga mendapati tidak ada kecacatan dalam keputusan tersebut dan mengekalkan hukuman.

“Ia adalah keputusan yang mantap dan tidak berbelah bagi tanpa sebarang keraguan,” katanya.

Justeru, Muhammad Lukman berpendapat, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya menunggu kes beliau selesai dahulu sebelum memimpin UMNO dan menentukan hala tuju yang dilihat amat canggung.

Beliau turut percaya, transformasi UMNO juga memerlukan kepada tindakan mengeluarkan Ahmad Zahid, bukan memasukkan semula Najib ke dalam parti dengan cara membebaskannya.

Sebelum ini media melaporkan, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas Presiden parti itu sebagaimana kuasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, MKT sebulat suara bersetuju untuk memohon menghadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong berserta memorandum yang ditandatangani seluruh kepimpinan UMNO daripada 191 bahagian termasuk Wanita dan sayap Pemuda dan Puteri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button