Kabinet Jordan buat keputusan henti pengambilan pekerja bukan warganegara
Kementerian Tenaga Kerja tetapkan tiga bulan laksana prosedur

AMMAN, 19 Ramadan 1444H, Isnin – Mesyuarat Kabinet Jordan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Bishr Khasawneh memutuskan untuk meluluskan langkah memudahkan pemindahan pekerja bukan warganegara Jordan ke dalam pelbagai sektor dan aktiviti ekonomi.
Langkah itu bertujuan mengawal selia pasaran buruh negara dan mengurangkan bilangan pekerja haram.
Buat masa ini, pihak kementerian menetapkan tempoh selama tiga bulan untuk melaksanakan prosedur berkenaan, dengan syarat akan dinilai semula selepas tamat tempoh itu.
Susulan keputusan berkenaan, pengambilan ekspatriat dihentikan kecuali bagi pekerja yang terlibat dalam sektor domestik dan mereka yang mempunyai kemahiran khusus selain terlibat dalam sektor pembuatan baju dan tekstil.
Dalam pada itu, Kementerian Tenaga Kerja akan menerbitkan butiran lanjut berhubung prosedur berkenaan dan langkah-langkah sesuai dalam melaksanakannya.
Peraturan baharu tersebut akan diagihkan kepada semua pengarah dan ketua jabatan yang terlibat untuk pengambilan pekerja.
Keputusan berkenaan dibuat berdasarkan peruntukan Perkara (12) Undang-undang Tenaga Kerja no (8) 1996 dan pindaan bagi syarat dan prosedur pengambilan dan penggajian pekerja bukan Jordan 2012. – Agensi