Berita Utama

SPRM digesa siasat MPK berlembut dengan peniaga warga asing Pasar Besar Klang

Patut ambil tindakan segera supaya identiti pihak berkuasa tidak dicemari

BANGI, 19 Ramadan 1444H, Isnin – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat keseluruhan Majlis Perbandaran Klang (MPK) termasuk penguat kuasa yang dilihat masih berlembut dalam isu warga asing bermaharajalela menjalankan perniagaan secara bebas di bandar itu.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat) Mohd Nor Izzat Nor Johari berkata, siasatan wajar dilakukan susulan Yang Dipertua MPK, Noraini Roslan membiarkan warga asing berniaga selama enam bulan lagi selepas pemeriksaan di Kompleks Pasar Besar Jalan Meru, baru-baru ini.

“Keputusan MPK yang secara langsung ‘melindungi’ peniaga dan mempunyai kepentingan peribadi itu dilihat seperti memberi peluang kepada warga asing terus bermaharajalela di Pasar Besar Klang.

“Sedangkan, ia tidak seharusnya berlaku kerana boleh mengaibkan maruah anggota penguat kuasa selain menjejas krediliti agensi penguatkuasaan berkenaan.

“Ia juga boleh disifatkan sebagai lemah, penakut dan menimbulkan syak wasangka kerana masih berlembut dalam menegakkan undang-undang yang melibatkan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Noraini dalam kenyataan memaklumkan pihak MPK akan mengambil tindakan kepada peniaga warga asing berkenaan dan menghentikan perniagaan mereka.

Keputusan itu dibuat selepas orang ramai membuat laporan kebanjiran warga asing yang menguasai kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Nor Izzat mencadangkan supaya pihak berkuasa termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan pihak berkuasa terus melakukan pemantauan di semua pasar-pasar dalam negara secara mengejut bagi memastikan perniagaan tidak dimonopoli kaum lain.

Malah, semua warga asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dilihat bermaharajalela di semua pasar-pasar besar perlu ditahan.

Katanya, tindakan tegas wajar dikenakan supaya maruah dan identiti pihak berkuasa tidak dicemari dengan agenda yang mempunyai kepentingan peribadi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button