Berita Utama

AUKU: Cukup sekadar pinda, tak perlu mansuhkan

Syor longgarkan akta rai semangat aktivisme dalam mahasiswa

BANGI, 20 Ramadan 1444H, Selasa – Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) tidak perlu dimansuhkan, namun cukup sekadar matlamat penubuhan undang-undang itu dipinda dan diperkasakan dengan hala tuju yang jelas.

Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan percaya, gesaan memansuhkan AUKU disebabkan pada peringkat awal akta diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah untuk menyekat pergerakan mahasiswa yang dieksploitasi Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui gerakan reformasi.

Bagaimanapun, beliau berpendapat kerajaan boleh mempertimbangkan untuk melonggarkan sedikit akta itu bagi meraikan semangat aktivisme yang positif, tanpa perlu kepada pemansuhan.

“Kini kebebasan mahasiswa beraktivisme terlampau agresif sehingga mewujudkan gerakan yang songsang dan tidak bermoral, tidak kurang juga adanya gerakan ajaran sesat sehingga menjadi tajaan pihak tertentu yang memusnahkan kualiti dan jaminan masa depan mereka.

“Sepatutnya AUKU boleh berperanan dan ditambah baik untuk mewujudkan satu sistem sokongan kepada universiti bagi mengekalkan matlamat institusi pendidikan tinggi dalam menghasilkan graduan yang berperanan besar dalam mencorak dan kejayaan masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata, mahasiswa adalah golongan terpelajar yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat.

“Mereka adalah aset negara yang berharga dan perlu diberikan sepenuh perhatian untuk pemerkasaan kualiti dan hasil bagi memenuhi pasaran dan permintaan dalam menggerakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara akan datang.

“Merekalah harapan negara yang boleh memposisikan diri mengisi jawatan penting dalam masyarakat dan negara. Rosak mereka, rosaklah negara,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dijangka membentangkan Rang Undang-Undang berhubung cadangan pindaan dua peruntukan di bawah AUKU 1971 pada persidangan Parlimen hujung tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pindaan akta tersebut akan lebih memfokuskan kepada Seksyen 15 dan 16 iaitu peruntukan yang berkaitan dngan pelajar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button