‘Dah jadi PM, Anwar patut buang watak pembangkang’
Tekan pihak lawan takkan bawa negara ke mana-mana

BANGI, 20 Ramadan 1444H, Selasa – BERJASA mengingatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya sedar kedudukannya sebagai Perdana Menteri, yang bertanggungjawab menentukan dasar serta polisi negara untuk manfaat rakyat.
Justeru, Anwar perlu meninggalkan watak sebagai pembangkang yang menekan lawan politiknya, dengan memfokuskan tugas hakiki sebagai ketua kerajaan, kata Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim.
Beliau berkata, sikap Anwar yang banyak menumpukan kepada usaha menekan pihak lawan dibimbangi akan menyebabkan fokus serta ideanya untuk mentadbir Malaysia akan hilang.
“Saya lihat kini Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah masih berlagak sebagai seorang pembangkang seperti dahulunya.
“Nasihat saya, sepatutnya beliau fokuskan kepada tugas hakiki beliau iaitu sebagain Perdana Menteri.
“Malaysia memerlukan sentuhan tadbir urus yang baik daripada beliau bagi memulihkan kembali ekonomi dan krisis kepercayaan daripada pelabur luar,” katanya.
Zamani berkata, rakyat mahu melihat kos sara hidup menurun dan perkara itu sepatutnya menjadi indikator kepada kerajaan di bawah pentadbiran Anwar.
“Menekan pimpinan pembangkang tidak akan membawa negara ke mana-mana. Untuk mendakwa atas kesalahan rasuah itu baik, namun perlu dikemukakan bukti yang kukuh.
“Jika didakwa atas kesalahan mengkritik kerajaan, itu satu tindakan yang tidak masuk akal,” katanya.