Berita Utama

Jakim nasihat tinggalkan produk jika ragui tiada status halal

Jangan hukum makanan tak halal melainkan jelas bukti haramnya

BANGI, 20 Ramadan 1444H, Selasa – Tidak semestinya sesuatu produk yang bukan pemegang sijil pengesahan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah tidak halal. 

Bahagian Hab Halal Jakim menjelaskan, sesuatu makanan tidak boleh dihukum tidak halal melainkan jelas bukti haramnya.

Justeru, sekiranya timbul keraguan atau syubhah terhadap sesuatu produk yang tiada pengesahan halal, maka sebaiknya ia ditinggalkan.

“Barisan admin page ini dan Bahagian Hab Halal Jakim sering kali menerima pertanyaan berkenaan status halal sesuatu produk.

“Acapkali apabila jawapan bukan pemegang sijil pengesahan halal diberikan, maka para netizen berlumba-lumba menyebarkannya dengan dakwaan ianya tidak halal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, dakwaan seumpama ini boleh menjurus kepada jalan yang mengundang kepada fitnah, perbalahan, perpecahan, pergaduhan dan salah faham sesama ummah.

“Bukan pemegang sijil pengesahan halal Malaysia bukan beerti tidak halal.

“Menjadi pemegang sijil pengesahan halal Malaysia bukan sahaja dijamin halal, malahan toyyiban dan mengikut standard yang ditetapkan.

“Ayuh sebarkan info ini agar kita sama-sama dapat menutup jalan-jalan yang membawa kepada salah faham dan perbalahan tersebut,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button