PM kena ingat jasa UMNO’
Lantikan sudah diumum, perlu jaga maruah dan air muka pemimpin terbabit

BANGI, 20 Ramadan 1444H, Selasa – Keputusan untuk menilai semula pelantikan pemimpin UMNO sebagai Pengerusi di Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dianggap sebagai langkah tidak wajar dan memalukan individu berkenaan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, lantikan bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) belum dimuktamad dan akan diteliti semula.
Katanya, perkara berkenaan sudah dibincangkan antara beliau bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Tidak bersetuju dengan ‘tindakan’ sedemikian, Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Ahmad Fadli Shaari berkata, sepatutnya pemimpin nombor satu negara menjaga maruah dan air muka pemimpin berkenaan.
“Pengumuman untuk menilai semula pelantikan sebagai Pengerusi KEDA itu adalah satu perkara yang kurang wajar.
“Pelantikan itu sudah diumumkan secara terbuka, PM perlu jaga maruah dan air muka pemimpin terbabit,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli secara sinis menyarankan supaya Ahli Parlimen Tambun itu menghargai jasa dan sumbangan UMNO.
Katanya, UMNO juga sudah memberikan kerjasama yang cukup baik dalam menubuhkan kerajaan hari ini.
“Kena ingat jasa dan sumbangan UMNO, jangan dilayan seperti melukut di tepi gantang.
“Semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya.
5 April lalu, pelantikan Azeez diumumkan Ahmad Zahid bagi menggantikan Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang memegang jawatan itu sebelum ini.