Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

30 barangan dikawal bawah SHMMP sempena Aidilfitri

Pelaksanaan skim akan berkuat kuasa dari 15 hingga 30 April

BANGI, 21 Ramadan 1444H, Rabu – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Raya Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pelaksanaan skim itu akan berkuat kuasa daripada 15 hingga 30 April 2023, iaitu selama 16 hari termasuk dua hari ketika perayaan.

Beliau berkata, kementeriannya telah mengenal pasti sebanyak 30 jenis barangan yang akan dikawal di bawah skim berkenaan.

Katanya, ini termasuk enam jenis barangan daripada kategori ayam dan telur di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam yang sedang berkuat kuasa sejak 5 Februari lalu.

“Tempoh pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2023 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.

“Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Salahuddin berkata, senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seoerti cuaca, ekonomi global, kadar tukaran wang asing, kadar upah serta pemintaan dan penawaran.

“SHMMP Hari Raya Puasa 2023 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat.

“Harga maksimum yang telah ditetapkan untuk SHMMP Hari Raya Puasa 2023 di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui website Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di https://www.kpdn.gov.my,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pegawai penguat kuasa KPDN juga akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan.

Katanya, strategi itu membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan, di mana tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna serta tindakan ke atas peniaga jika berlaku ketidakpatuhan.

“Kementerian sentiasa menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim.

“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button