49,000 pekebun kecil getah terima bantuan khas RM200
Bantuan akan dikredit ke akaun penerima selewatnya 14 April

BANGI, 21 Ramadan 1444H, Rabu – Dianggarkan seramai 49,000 pekebun kecil getah di seluruh negara akan menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA), membabitkan peruntukan berjumlah RM9.8 juta.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam kenyataan berkata, sebanyak RM200 akan disalurkan melalui Lembaga Getah Malaysia kepada pekebun kecil getah berdaftar dengan keluasan kebun melebihi 2.5 hektar sehingga 6.0 hektar.
Katanya, penyaluran bantuan itu selaras pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 29 Mac lalu, berhubung pemberian BKKA sebanyak RM200 kepada 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM170 juta.
“KPK telah mengambil tindakan bagi memastikan kumpulan sasar yang terdiri daripada pekebun kecil getah mendapat manfaat BKKA.
“Penyaluran bantuan ini akan dikreditkan ke dalam akaun pekebun kecil sebelum atau pada 14 April 2023,” katanya.
Pada masa sama, kementerian memaklumkan, BKKA akan turut disalurkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) kepada pekebun kecil yang memiliki kebun dengan keluasan 2.5 hektar ke bawah.
“BKKA 2023 khusus kepada pekebun kecil getah ini diharapkan dapat meringankan beban pekebun kecil getah di seluruh negara dalam memenuhi keperluan sempena sambutan Aidilfitri yang menjelang tiba,” katanya.