Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Bekas MB Perlis didakwa 5 pertuduhan terima wang haram RM1.06 juta

Didakwa terima wang melalui tiga keping cek

KUALA LUMPUR, 21 Ramadan 1444H, Rabu – Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta.

Azlan, 64, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” kata Azlan.

Mengikut kelima-lima pertuduhan, Azlan didakwa telah menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM1,059,675.25 daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd, Aidil Travel & Tours Sdn Bhd dan Abdul Rahim Halim yang mewakili syarikat Aidil Travel.

Kesemua wang itu diterima tertuduh melalui tiga keping cek Maybank dan sekeping cek CIMB yang dibayar ke dalam akaun Maybank dan CIMB milik tertuduh serta secara tunai daripada Abdul Rahim.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, CIMB Bank cawangan Putrajaya dan Hotel Sheraton Imperial di sini, antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Azlan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh pada 2013 hingga 2018, sebelum memenangi kerusi DUN Bintong dari 2018 hingga tahun lepas, sebelum tewas pada Piihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang merupakan Menteri Besar Perlis dari 2013 ke 2022 turut gagal mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar pada pemilihan parti itu, baru-baru ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button