Berita Utama

DUKE setuju laksana sistem bayaran tol terbuka

12 lebuh raya terbabit, dijangka boleh guna mulai September

BANGI, 21 Ramadan 1444H, Rabu – Lebuh raya Duta-Ulu Klang (DUKE) bakal melaksanakan sistem pembayaran tol terbuka, yang dijangka bermula pada September tahun ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, persetujuan dicapai di antara kementeriannya dan DUKE menjadikan keseluruhan 12 lebuh raya setakat ini yang bakal terbabit di dalam pelaksanaan sistem itu.

Antara lebuh raya lain yang terlibat termasuklah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie, Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Butterworth-Kulim, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Terowong SMART serta Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX).

“Selain itu, sukacita ingin saya memaklumkan bahawa Lebuhraya DUKE juga telah dipilih sebagai lokasi kedua pelaksanaan Proof of Concept (POC) selepas Lebuhraya Sungai Besi bagi menilai sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) sebelum ianya dilaksanakan di semua lebuhraya di dalam negara.

“Seperti diketahui umum, pelaksanaan sistem pembayaran terbuka ini merupakan persediaan awal peralihan kepada MLFF sebelum dilaksanakan sepenuhnya secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap usaha berkenaan dapat memberikan peluang kepada kerajaan, syarikat konsesi serta pihak terbabit untuk mengenal pasti dan menyelesaikan segala isu yang merencatkan kelancaran pelaksanaan MLFF kelak.

Katanya, pelaksanaan MLFF juga diharapkan dapat menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya di plaza tol, selain memberikan kemudahan dan memastikan keselamatan semua pengguna lebuh raya terjamin.

“Pada ketika ini, pelaksanaan sistem pembayaran terbuka, POC dan MLFF mengikut jadual dan kementerian ini sedang giat berusaha memastikan kesemua perancangan dapat dijayakan dengan lancar.

“Saya memohon kerjasama semua pihak agar dapat bersabar dan memberikan sedikit masa kepada pasukan di kementerian ini yang komited dalam melaksanakan sistem pembayaran terbuka ini sekali gus memastikan transisi MLFF ini dapat dilaksanakan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button